Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menggesa para hakim yang mendengar kes bawah Akta Hasutan bertindak lebih tegas dalam menjatuhkan hukuman.

Menurut beliau ketegasan diperlukan bagi membuat rakyat takut dan gerun untuk membuat kesalahan khususnya dalam kes melibatkan hubungan kaum dan hasutan.

"Sekarang ini hakim beri hukuman ringan dulu, bila pendakwa raya minta baru beratkan.

"Sekarang sudah tak boleh begitu. Patut mula jatuhkan hukuman penjara dulu kalau ada rayuan baru kurangkan.

"Negara ini kalau hendak diselamatkan kena ada kekerasan dalam pelaksanaan undang-undang," katanya dalam forum bertajuk 'ISA: Masih relevan atau tidak?' di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Noor turut mengingatkan pihak kerajaan agar mengambil iktibar dari pemansuhan ISA dan tidak melakukan kesilapan kali kedua dengan dengan melaksanakan pemansuhan Akta Hasutan 1948.

“Keputusan membubarkan ISA jelas amat merugikan kerajaan dan masyarakat di mana untuk kali ini kita harus mengekalkan Akta Hasutan.

“Kerajaan tidak harus melakukan kesilapan kedua dengan memansuhkan Akta Hasutan,” kata beliau.

ISA lindungi kaum Cina, India

Sementara itu Ibrahim yang konsisten menyokong penguatkuasaan kedua-dua akta kontroversi ini mendakwa pelaksanaan ISA penting untuk "melindungi" keselamatan kaum Cina dan India.

‎Beliau mendakwa pandangan yang mendakwa akta itu digubal untuk kepentingan kaum Melayu adalah salah sama sekali kerana golongan itu adalah majoriti.

"Siapa yang ramai? Majoritinya 67 peratus Melayu dan Bumiputera. Kalau jadi apa-apa siapa yang teruk?

“Jadi ISA ini pentung untuk keselamatan.

"Kita bercakap soal lindungi Islam dan Raja-raja Melayu...tapi di atas kepentingan ini ialah soal keselamatan negara," tegas beliau yang berpengalaman ditahan bawah ISA sebanyak dua kali.

Seorang lagi anggota panel forum tersebut ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Lihat Komen
ADS