Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli mengakui bahawa beliau tersalah mengeluarkan arahan untuk menurunkan papan iklan pro-BN dalam kawasan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor berhubung isu royalti minyak.

Beliau berkata surat itu sepatutnya ditujukan kepada Urusetia Penerangan kerajaan negeri, bawah pentadbiran PAS Kelantan.

Namun, beliau membuat kesilapan dengan mengeluarkan surat kepada Jabatan Penerangan Negeri bawah kerajaan persekutuan, katanya.

Bahan kempen yang dimaksudkan itu sepatutnya melibatkan papan iklan yang antara lainnya mempersoalkan alasan rakyat Kelantan dinafikan hak ke atas bayaran royalti.

Namun, surat yang tersilap kandungan itu mengarahkan Jabatan Penerangan menurunkan papan iklan yang menjelaskan pendirian kerajaan persekutuan dalam isu royalti minyak.

"(Surat) kepada Jabatan Penerangan itu salah. Sepatutnya (dialamatkan pada) urusetia penerangan yang di bawah kerajaan negeri.

"SPR negeri tersilap. Kita akan keluarkan surat baru dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Surat bertarikh 22 September daripada SPR itu dialamatkan kepada Jabatan Penerangan Negeri Kelantan dan turut disertakan salinannya kepada PAS.

Surat itu ditunjukkan kepada petugas media dalam sidang media PAS pagi ini.

Ia antara lainnya menggariskan bahawa SPR mendapati, papan iklan tersebut mempunyai maklumat yang dikhuatiri boleh mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan kepada individu atau golongan tertentu.

Ia seterusnya meminta Jabatan Penerangan menurunkan papan iklan mereka di kawasan antaranya di jalan utama menuju Pengkalan Kubor, Cabang Tiga dan Kampung Jubakar.

PAS dalam sidang medianya pagi ini menggunakan surat berkenaan sebagai alasan untuk menggesa BN menurunkan papan iklan pro-BN .

Papan tanda tersebut antara lainnya mendakwa PAS berbohong mengenai tuntutan “RM12 bilion wang ehsan fitnah besar PAS”.

Lihat Komen
ADS