Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor mungkin telah membuat keputusan untuk memilih satu antara tiga calon yang bertanding.

Mereka hanya menunggu hari Khamis ini untuk memangkah seorang calon pilihan mereka sebagai wakil rakyat daripada ketiga-tiga calon iaitu dari Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pemerhati politik Profesor Abdul Aziz Abdul Latif berkata berdasarkan pemerhatiannya 60 hingga 80 peratus daripada 24,039 pengundi telah membuat keputusan berhubung calon pilihan mereka.

"Mereka terdiri daripada pengundi yang berusia 40 tahun ke atas. Daripada pemerhatian saya sepanjang berada di sini, mereka tidak celaru dengan kempen daripada parti-parti yang bertanding," katanya.

Beliau berkata baki 20 peratus lagi pengundi terdiri daripada golongan muda dan mereka yang dikategorikan sebagai 'atas pagar' belum membuat keputusan calon mana akan dipilih.

"Mereka ini bersikap tunggu dan lihat parti mana boleh mempengaruhi keyakinan mereka," katanya.

Beliau berkata jentera BN dan PAS dilihat sedang agresif untuk menarik sokongan golongan muda dan 'atas pagar' kerana mereka ini juga akan menjadi penentu kemenangan.

Jentera BN telah berkempen ke seluruh pelosok DUN berkenaan bagi menemui pengundi terutama melalui pendekatan bersemuka dan dari rumah ke rumah.

Kempen secara 'sentuhan peribadi' oleh pemimpin Barisan Nasional termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melaswat pesakit kronik, orang miskin dan warga emas, menyentuh perasaan mereka atas keprihatinan pemimpin BN.

Abdul Aziz berkata kempen PAS hanya nampak sengit tiga hari sebelum hari mengundi kerana sebelum ini nampak hambar kerana ketiadaan pemimpin tertinggi parti itu atau 'pakatan longgar' PAS-DAP-PKR.

Seorang lagi pemerhati politik, Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia Datuk Hasan Haron yang mengikuti rapat perkembangan PRK itu berkata golongan dewasa telah membuat keputusan calon yang hendak dipilih dan mereka tidak akan berganjak daripada pendirian masing-masing.

Beliau berkata tempoh kempen yang agak panjang iaitu 12 hari sejak 13 Sept lepas memberi ruang kepada calon-calon menjelajah ke seluruh kawasan DUN bagi memperkenalkan diri.

"Saya melihat BN telah meletakkan seorang calon yang tepat dan sesuai dengan kehendak pengundi di Pengkalan Kubor. Beliau seorang yang mempunyai pendidikan tinggi, pengalaman kerja yang luas dan pengetahuan dalam aspek keagamaan memuaskan.

"Ini memberi cabaran sengit kepada calon PAS, sebab itu dari awal kempen saya melihat mereka (PAS) menyerang peribadi calon BN," katanya.

Mengenai pengundi golongan muda, Hasan berkata hasil perbualan beliau dengan golongan berkenaan, ramai kalangan mereka belum pasti calon yang hendak dipilih.

"Mereka memberi pandangan negatif kepada PAS berikutan kekecohan yang berlaku dalam parti tersebut sehingga Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) berang dan mengungkapkan perkataan 'barua' dan 'broker'.

"Mereka juga memberi reaksi negatif kepada PKR berikutan perebutan untuk menjadi Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.

Hasan berkata golongan muda ini mungkin akan menterjemahkan pandangan negatif mereka terhadap PAS dengan mengundi calon BN pada PRK ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hasil lawatannya ke kawasan itu beliau mendapati BN mempunyai peluang yang cerah untuk menang dan calon BN itu diterima ramai.

Beliau yang telah enam hari turun ke padang untuk berkempen juga sering kali meminta jentera BN agar terus meningkatkan kempen dan pada masa yang sama tidak memandang mudah kempen parti lawan.

Jika dilihat latar belakang calon yang bertanding, Mat Razi lebih disegani dan digelar ustaz kerana perwatakan yang warak dan dihormati penduduk Pengkalan Kubor kerana sumbangannya mewakafkan sebidang tanah miliknya dan membuka sebuah madrasah Tahfiz Al Quran dengan lebih 50 pelajar sedang menuntut secara percuma.

Pengerusi Masyarakat Siam Kelantan, Eh Chot Cha Chan berkata beliau yakin lebih 1,600 pengundi Siam di DUN itu akan tetap memilih BN yang besar jasanya kepada masyarakat minoriti berkenaan.

"Apa jasa PAS di sini. Siapa yang membela nasib masyarakat Siam jika bukan BN yang diwakili Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar. Masyarakat Siam adalah masyarakat yang mengenang jasa," katanya.

Seorang peniaga Ramlah Che Isa, 45, dari Pantai Geting di Tumpat berkata beliau akan menyokong BN pada PRK ini kerana sudah hilang keyakinan terhadap PAS.

"Yang saya tidak boleh terima, (kenyataan pemimpin PAS bahawa) sokong PAS boleh masuk syurga, sokong BN boleh bala. Kalau duduk dalam PAS kita tak sembahyang dan tak puasa bolehkah Allah izinkan kita masuk syurga. Saya dan keluarga selain mahu lihat negara aman, mahu juga lihat pembangunan dan mahu rezeki kami terus melimpah," katanya.

Sebanyak 24,039 pengundi di DUN itu akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Khamis ini dan kuasa penentu itu kini di tangan mereka.

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat DUN itu daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU Umum ke-13 pada tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS