Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tugas pertama menteri besar Selangor yang baru Azmin Ali adalah memilih barisan exconya dan ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Kemelut pentadbiran Selangor sejak Langkah Kajang diumumkan Januari lalu kini menekan hubungan antara parti Pakatan Rakyat sendiri.

Ia bermula dengan kritikan DAP terhadap exco PAS yang tidak mahu meletakkan jawatan mereka ketika menteri besar bebas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini memecat kesemua exco lain Pakatan.

Azmin bukan saja harus memperbaiki semula hubungan dengan PAS, malah harus memastikan kemahuan pasukan yang bukan pro-beliau dalam PKR sendiri diambil kira.

Seorang pemimpin PKR memberitahu Malaysiakini terdapat pelbagai "pendapat dan cadangan" dilontarkan kepada Azmin dalam mesyuarat biro politik parti itu semalam.

Antaranya Azmin "dicadangkan" mengambil ADUN yang tidak dilihat pro beliau menjadi exco Selangor untuk mengimbangi pentadbiran beliau.

Nama yang dilontarkan adalah Ketua Pemuda PKR (AMK) yang baru Nik Nazmi Nik Ahmad ( kanan ) yang merupakan ADUN Seri Setia dan Gan Pei Nei (Rawang)

"Pasukan sama turut meminta agar exco yang dilantik dua kali iaitu Elizabeth Wong dan Rodziah Ismail memberi laluan kepada nama baru," kata beliau yang enggan dinamakan.

Malaysiakini difahamkan sekutu rapat Azmin seperti Amiruddin Shari (Batu Caves) dan Shuhaime Shafiei (Sri Muda) turut dilobi oleh sebuah kem lain.

Bekas exco Dr Xavier Jeyakumar (Seri Andalas) dan Yaacob Sapari (Kota Anggerik) turut dilaporkan berminat dengan jawatan tersebut.

Malah Gabungan Persatuan-persatuan Masyarakat India (Gamia) hari ini secara terbuka membuat kenyataan mahukan exco India dari PKR.

Hanya Xavier merupakan pemimpin berketurunan India dari PKR manakala DAP mempunyai V Ganabatirau (Kota Alam Shah) dan R Rajiv (Bukit Gasing).

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anawar Ibrahim ( kiri ) ketika ditemui hari ini pula memberitahu PKR bakal menghormati hak Azmin untuk memilih pasukan beliau sendiri.

"Itu kita kena hormat peraturan itu bidang kuasa menteri besar.

"Kita kena beri keyakinan dan kepercayaan kepada dia (Azmin) untuk berunding dengan kedua-dua parti dan ia terbuka dengan perkenan Tuanku," kata beliau ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

PAS dihukum?

Kemelut panjang ini juga mengakibatkan PKR dan DAP merasakan dikhianati PAS dan mahu "menghukum" parti Islam itu kerana tidak menyokong presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, calon "Langkah Kajang" mereka.

Hari ini secara terbuka Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin ( bawah ) meminta komposisi exco dengan empat dari PAS dan masing-masing tiga dari DAP dan PKR disemak semula kerana PAS tidak menyokong langkah menukar Khalid ini.

"Pendapat peribadi saya, pembahagian kerusi exco perlu disemak semula.

"Kerana PAS tidak menyokong calon menteri besar kita, saya rasa PAS hanya perlu diberi consolation seat sebagai exco. Kalau PAS sokong calon menteri besar kita (Wan Azizah) ini tak berlaku," kata beliau ketika ditemui di ibu pejabat parti hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad dan pimpinan PAS negeri beberapa kali mengulangi kenyataan mereka tidak meletakkan jawatan exco di bawah Khalid untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

Seorang pemimpin PAS Selangor pula menyatakan parti itu cenderung "mahu mengekalkan kesemua barisan exco asal mereka."

"PAS Selangor akan bermesyuarat hari ini dan akan bertemu dengan menteri besar," kata beliau secara ringkas.

Kenyataan rasmi PAS turut dijangka akan dikeluarkan oleh PAS Selangor dan PAS Pusat lewat hari ini atau esok.

Selain itu, beberapa laporan media turut menyatakan DAP menuntut lebih kerusi exco dari PAS atas sebab yang sama.

Pilihan MB, perkenan sultan

Bagaimanapun satu lagi faktor yang harus diambil kira adalah kuasa yang memainkan peranan dalam hal ini iaitu istana Selangor.

Tahun lalu, pelantikan exco telah ditunda kerana istana dilaporkan enggan menerima nama seorang pimpinan PKR yang telah berkhidmat sebagai exco sejak 2008.

Azmin difahamkan mahu menyelesaikan perkara itu dengan pantas untuk mula mencorak pentadbiran beliau.

Beliau mengumumkan kepada media awal hari ini untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi memohon perkenan baginda dalam perkara ini.

Tetapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya ketiga-tiga parti Pakatan ini 'bermasalah' menyelesaikan perkara ini dan rakyat Selangor sekali lagi terpaksa menunggu peneraju kerajaan negeri paling kaya di negara ini.

Lihat Komen
ADS