Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kesempatan dalam beberapa jam lagi sebelum tamatnya tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor untuk 'memutihkan' 10 peratus lagi pengundi berdaftar yang diklasifikasi sebagai pengundi atas pagar.

Pengarah Jentera PRK BN DUN itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau mahukan jentera BN menggiatkan usaha di saat akhir itu untuk mengenal pasti pengundi berkenaan.

"Sebelum ini angka mungkin 20 peratus tetapi kita telah berjaya mengurangkannya sebanyak 10 peratus dan bakinya inilah yang akan kita pergiatkan usaha di saat akhir kempen.

"Sehingga petang ini dalam kajian kita sebanyak 90 peratus pengundi berdaftar di DUN ini telahpun membuat keputusan untuk mengundi calon pilihan mereka esok dan 10 peratus yang tinggal ini adalah pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media BN di Tumpat, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata beliau berpuas hati dengan gerak jentera kempen BN yang dilihatnya bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan BN pada PRK itu esok.

Beliau mengharapkan hampir 24,000 pengundi mengambil sikap terbuka dalam memilih calon terbaik esok demi masa depan mereka.

Menurutnya BN telah melaksanakan semua program yang dirancang bagi menjelaskan kepada pengundi kelebihan yang ada pada calon BN, Mat Razi Mat Ail.

Mustapa juga turut mengharapkan kira-kira 6,000 pengundi berdaftar DUN itu yang kini berada di luara kawasan itu agar pulang esok untuk mengundi.

"Ini satu angka yang besar. Pengundi luar perlu mengorbankan sedikit masa dan tenaga kerana PRK ini penting untuk menentukan masa depan anak cucu kita," katanya.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negerinya Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN pada 20 Ogos lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Seramai 23,929 orang pengundi biasa akan mengundi esok dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus akan keluar menjalankan tanggungjawab itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS