Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Jentera PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, faktor ketidakhadiran pemimpin Pakatan Rakyat dan masalah dalaman parti bukan punca kekalahan PAS.

"Secara keseluruhan, ketidakhadiran pemimpin Pakatan terutama DAP tak jadi masalah besar. Bukan faktor. Cuma ia hanya polemik dalaman tentang apa yang berlaku.

"Kalau kita tengok, semua orang pun turun (berkempen). Tak timbul soal ada masalah (dalaman). Saya reda dengan apa yang berlaku. Soal sedih memanglah, cuma hak kita ialah usaha, ikhtiar dan tawakal," katanya pada sidang media selepas pengumuman kemenangan calon BN di markas besar PAS Kampung Geting, Tumpat.

BN mendapat 9,961 undi manakala PAS mendapat 7,326 undi. Calon bebas pula mendapat 38 undi.

Seramai 73 peratus daripada 23,929 pemilih berdaftar keluar mengundi, lebih rendah daripada kadar 80 peratus pada pilihan raya umum lepas.

Dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, bekas ADUN BN Datuk Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pengundi luar tak balik

Selain itu, Tuan Ibrahim juga berkata, faktor bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada masyarakat miskin di kawasan itu juga menjadi salah satu punca kekalahan mereka.

Malah, beliau juga berkata, kekalahan pilihan raya kecil kali ini juga mungkin disebabkan faktor pengundi luar yang tidak balik untuk mengundi.

"Faktor pengundi luar yang menyokong PAS tak boleh balik juga antara punca kekalahan kerana pengundi luar ini cenderung pada PAS. Dan pengundi muda di kawasan ini juga di luar jangkaan kerana prestasi pengundi muda di kawasan ini seperti ada sesuatu yang tidak kena. Kita akan tengok balik.

"Dalam masyarakat miskin, bantuan yang terlalu besar mungkin menjadi elemen. Selain itu sogokan yang tidak dapat dinafikan juga akan pengaruhi golongan miskin dan kita harap akan buat post-mortem mengenai perkara ini," katanya lagi.

Calon: Saya reda

Sementara itu, Wan Rosdi pula berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera dan turut reda dengan kekalahan tersebut.

"Saya reda dan sebagai calon parti saya ucapkan terima kasih pada seluruh jentera parti dari seluruh kawasan dan negeri," katanya ringkas.

Lihat Komen
ADS