Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: Jangan bayar lebih untuk struktur semula air
Diterbitkan:  Sep 28, 2014 5:10 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Setelah senyap selama enam hari mantan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi respon terhadap dakwaan oleh pimpinan PKR terhadap beliau.

Dalam siri tweet beliau hari ini, Khalid seolah-olah menunjukkan kepada menteri besar baru Selangor mengenai harga maksimum mengenai legasi beliau, penstrukturan semula air di Selangor.

"(Jumlah) RM9.65 bilion untuk penstrukturan air, adil untuk rakyat.

"Jika mana-mana pihak mahu buat semakan, pastikan rakyat tidak bayar lebih dari jumlah itu," tulis beliau dalam laman Twitternya kira-kira jam 4 petang.

Khalid turut secara terbuka mengalu-alukan semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua perjanjian yang dibuat di zaman beliau.

Pengganti beliau Azmin Ali sebelum ini menyatakan beliau akan meneliti semula semua perjanjian yang ditandatangani oleh pentadbiran Khalid sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar minggu lalu.

"Saya mengalu-alukan semua pihak termasuk SPRM untuk semak dan siasat semua perjanjian yang ditandatangani semasa saya menjadi menteri besar.

"Ini termasuk perjanjian air Selangor dan perjanjian pembangunan di Canal City. Peguam saya akan keluarkan kenyataan penuh berhubung hal ini," kata beliau dalam dua tweet sebelum itu.

Beberapa hari sebelum meletak jawatan Khalid memeterai perjanjian induk untuk mengambil alih perkhidmatan bekalan air Selangor bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan persekutuan.

Perjanjian berkenaan adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 26 Februari berkaitan pembinaan loji rawatan di Hulu Langat Selangor.

Tiga syarikat konsesi bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 bilion oleh kerajaan Selangor.

Satu lagi iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) pula menolak tawaran tersebut.

Khalid turut menyatakan tawaran lebih RM 1.8 bilion untuk mengambil alih Splash adalah permainan politik

"Jika semakan berakhir dengan rakyat perlu membayar SPLASH lebih dari RM1.8 bilion, kita telah diperdaya oleh mainan politik yang hanya beretorik," tulis beliau.

Beberapa pimpinan PKR sebelum ini mempersoalkan mengapa Khalid hanya menawarkan RM250 juta untuk mengambil alih syarikat yang didakwa mereka bernilai RM 2.5 bilion itu.

Splash dimiliki oleh Gamuda (40 peratus) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) (30 peratus).

Lihat Komen
ADS