Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tindakan lanjut pada 2 ADUN diputus PAS pusat
Diterbitkan:  Sep 30, 2014 11:42 AM
Dikemaskini: 8:39 AM

Keputusan sama ada untuk menyerahkan kepada Lembaga Disiplin berhubung tindakan dua ADUN PAS Selangor menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar, akan diputuskan oleh Jawatankuasa PAS pusat.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PAS akan datang, selepas pihaknya bertemu secara berasingan dengan ADUN Hulu Klang Saari Sungib dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin semalam, lapor portal Harakahdaily .

"Saya akan buat laporan kepada jawatankuasa PAS Pusat. PAS Pusat akan tentukan tindakan selanjutnya," katanya seperti dilapor portal berita itu.

Laporan itu juga menyebut, Mustafa berkata hasil pertemuan itu juga akan dibawa ke mesyuarat PAS itu sebelum menentukan bentuk tindakan selanjutnya.

Mustafa juga dilapor berkata Saari dan Hasnul diminta hadir bagi menjelaskan tindakan menandatangani akuan bersumpah menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar.

"Kedua-dua mereka memberi kerjasama yang baik dan semua perkara yang kita nak tahu telah dijelaskan.

"Kami akan sediakan laporan untuk dibawa kepada Mesyuarat PAS Pusat akan datang," katanya dipetik.

Turut sama dalam pertemuan itu di Pejabat Agung PAS, Penolong Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Lihat Komen
ADS