Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz mahu Pakatan 'bertenang'
Diterbitkan:  Oct 1, 2014 1:40 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru agar pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat kenyataan mengenai pentadbiran Selangor bagi meredakan ketegangan di antara parti.

Laporan Harakahdaily menyebut, Nik Abdul Aziz berharap agar para pemimpin parti melihat situasi pada masa ini sebagai “tempoh bertenang” apabila menteri besar dan anggota exco baru dilantik.

“Melalui cara ini semoga dapat meredakan segala kekusutan yang berlaku sebelum ini.

“Ada waktu untuk berbincang dan ada pula waktu untuk membuat keputusan.

“Buat masa ini beri ruang kepada Menteri Besar serta anggota-anggota Exco yang baru menjalankan tugas dengan baik,” katanya seperti dipetik dalam laporan lidah parti PAS itu.

Laporan itu juga membangkitkan kenyataan pemimpin tertentu dalam Pakatan yang mendakwa PAS dibuli oleh DAP.

Pemimpin berkenaan turut membangkitkan dakwaan berhubung provokasi halus DAP untuk menyingkirkan PAS dari Pakatan.

Krisis menteri besar yang berlarutan selama beberapa bulan menyebabkan timbul pertentangan di antara kumpulan dalam PAS.

Penentangan presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang ke atas pencalonan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar turut menjejaskan hubungan parti Islam itu dengan anggota Pakatan.

Lihat Komen
ADS