Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah, Saifuddin beri keterangan pada ROS
Diterbitkan:  Oct 1, 2014 7:00 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini memberi keterangan di ibu pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya berhubung pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai anggota parti itu.

    

Sesi keterangan yang dikendalikan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan ROS, ASP Akmal Yahaya itu berlangsung kira-kira dua jam.

    

Turut memberi keterangan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

    

Wan Azizah yang ditemui media selepas itu berkata sesi tersebut berlangsung dengan baik dan menyifatkan pegawai berkenaaan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

    

"Saya telah menjawab semua soalan yang dikemukakan dan sesi berakhir dengan saya menandatangani dua helaian kertas hasil perbualan itu," katanya.

Beliau juga mengulangi keyakinan bahawa tindakan Lembaga Disiplin PKR memecat Abdul Khalid, yang juga bekas menteri besar Selangor pada 9 Ogos lalu adalah betul dan mengikut perlembagaan parti.

    

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong dipanggil memberi keterangan pada 28 Ogos lalu berhubung aduan yang dibuat Abdul Khalid pada 16 Ogos lepas.

    

Khalid dipecat selepas ingkar arahan parti untuk meletak jawatan sebagai menteri besar untuk memberi laluan kepada Wan Azizah sebagai pengganti.

    

Sementara itu, Saifuddin berkata beliau memberi kerjasama sepenuhnya terhadap setiap soalan yang kesemuanya berkisar kepada perlembagaan PKR serta soal disiplin.

    

Antara yang ditanya ialah mengenai bentuk kesalahan disiplin, komposisi lembaga disiplin serta prosedur untuk pemecatan, katanya.

    

Ditanya berhubung tempoh masa siasatan, Saifuddin berkata tiada had masa ditetapkan kecuali beliau dimaklumkan bahawa ROS mahu kes itu diselesaikan secepat mungkin.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS