Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rasionalisasi subsidi kukuhkan kewangan'
Diterbitkan:  Oct 1, 2014 7:30 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Kerajaan menjelaskan, langkah rasionalisasi subsidi petrol, yang menyebabkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel, dibuat demi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), langkah itu juga sekali gus dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan.

"Pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal di mana bukan warganegara Malaysia termasuk pelancong asing turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan," menurut kenyataan KPDNKK.

Harga minyak petrol RON95 dan diesel akan naik 20 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

KPDNKK petang ini mengumumkan RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20 mulai 12.01 tengah malam ini,

Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen.

Sementara itu, kenyataan kementerian juga menyebut, langkah itu juga dapat menghasilkan penjimatan setimpal dan boleh digunakan untuk perbelanjaan lebih produktif.

Ia antaranya, menurut kerajaan, seperti pembangunan pendidikan dan latihan, kesihatan, sistem pengangkutan awam lebih meluas dan cekap serta keselamatan negara.

KPDNKK juga menjelaskan, rasionalisasi subsidi juga akan mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat daripada 3.9 peratus daripada Kementerian Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013 kepada 3.5 peratus (2014), 3 peratus (2015) dan mencapai bajet berimbang pada 2010.

"Langkah rasionalisasi subsidi ini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasikan ekonomi negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi,

"Kerajaan yakin langkah ini akan mengukuhkan lagi asas kewangan dan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kemakmuran negara dalam jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS