Faekah dakwa k'jaan S'gor beku peruntukan Khalid

   

Pegawai Khas ADUN Pelabuhan Klang Faekah Hussin menganggap pentadbiran Menteri Besar Selangor Azmin Ali memulakan "langkah sumbang" apabila mendakwa kerajaan negeri mengarahkan bank membekukan akaun bantuan negeri kepada kawasan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Faekah mendakwa Azmin mengarahkan Bendahari Negeri Selangor meminta bank membekukan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang pada 25 September lalu.

"Nampaknya Menteri Besar baru mahu menghukum bukan sahaja Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi seluruh rakyat di Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak.

"YAB Azmin Ali memulakan karier dengan langkah sumbang dan akan menghancurkan sifat hormat rakyat dan pegawai kerajaan kepada pemimpin negeri," kata Faekah yang juga bekas ketua pegawai eksekutif MBI.

Dalam kenyataannya Faekah menganggap tindakan itu sebagai "tindakan keras dan politik dendam" kepada Khalid yang berkhidmat kepada rakyat, parti dan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Tindakan keras sebegini tidak pula dilakukan kepada Umno tetapi kepada rakan sekutu yang telah sama-sama berjuang untuk rakyat dan amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas menteri besar yang selama ini bertungkus lumus memperkasa program-program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Ternyata segala jasa-jasa Tan Sri Khalid selama lebih enam tahun menerajui Selangor dilupakan begitu sahaja kerana politik dendam yang disemai oleh menteri besar baru," katanya.

SMUE diperkenalkan oleh pentadbiran Khalid pada 2008 sebagai bantuan dan khairat kematian kepada keluarga warga tua yang meninggal dunia bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Ia terbuka kepada semua warga Selangor atau rakyat yang lahir di Selangor termasuk Kuala Lumpur sebelum dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974.

Tahun lalu skim itu diluaskan pula kepada program 'Jom Shopping' memberi belanja RM 100 kepada warga tua sekitar Selangor.

Sehingga kini lebih RM 11 juta telah diberikan di bawah SMUE.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda