Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tatkala seorang bekas setiausaha politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa menteri besar baru Selangor berdendam ke atas bosnya, seorang lagi bekas setiausaha politik Khalid menafikan dakwaan itu.

Azman Abidin menyatakan dakwaan Faekah Hussin bahawa kerajaan negeri mengarahkan bank membekukan akaun bantuan negeri kepada kawasan bekas menteri besar itu sebagai tidak tepat.

"Dakwaan bahawa (Menteri Besar) Azmin (Ali) balas dendam tak betul. Memang sekarang ni Akaun SMUE (Skim Mesra Usia Emas) dibekukan betul tetapi bukan atas arahan menteri besar," kata beliau kepada Malaysiakini .

Azman ( kiri ) yang juga ketua cabang PKR Bandar Tun Razak berkata akaun SMUE DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak dibekukan kerana Khalid bukan lagi ahli parti dan menteri besar.

Beliau berkata akaun bank SMUE dipegang oleh ADUN, ADUN angkat serta penyelaras DUN PKR dan Pakatan Rakyat.

Dan Khalid, katanya, bukan lagi termasuk orang yang dibenarkan memegang akaun tersebut selepas dipecat sebagai ahli PKR dan meletakkan jawatan sebagai menteri besar sebelum ini.

"Bila bukan lagi ahli parti maka tiada lagi hak.

"Akaun (SMUE) itu dibekukan dan beri kepada penyelaras DUN Pelabuhan Klang dan untuk kes Bandar Tun Razak, ADUN angkat dari Selangor.

"Jadi, tak ada timbul itu arahan menteri besar," kata beliau.

Faekah: Politik dendam

Dalam kenyataan semalam, Faekah mendakwa Azmin mengarahkan Bendahari Negeri Selangor meminta bank membekukan akaun bank SMUE bagi parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang pada 25 September lalu.

Faekah ( kanan ) menganggap tindakan itu sebagai "tindakan keras dan politik dendam" kepada Khalid yang berkhidmat kepada rakyat, parti dan Pakatan Rakyat sebelum ini.

SMUE diperkenalkan oleh pentadbiran Khalid pada 2008 sebagai bantuan dan khairat kematian kepada keluarga warga tua yang meninggal dunia bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Ia terbuka kepada semua warga Selangor atau rakyat yang lahir di Selangor termasuk Kuala Lumpur sebelum dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974.

Lihat Komen
ADS