Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak RM0.20 tengah malam tadi sedangkan harga minyak mentah dunia terkini mengalami penurunan mencecah USD90.73 setong.

Berdasarkan semakan yang dilakukannya juga, ahli parlimen Pokok Sena turut mendapati harga minyak mentah dunia pada Julai berharga USD103 setong.

Kecewa dengan tindakan terkini kerajaan, Mahfuz berkata tidak sewajarnya kerajaan bertindak merasionalisasi subsidi petrol sewaktu rakyat boleh menikmati "berita gembira" ekoran penurunan harga minyak mentah dunia.

"Saya minta kerajaan memberi penjelasan mengapa harga minyak dunia jatuh, tetapi secara tiba-tiba kerajaan menaikkan harga minyak di negara ini.

"Sepatutnya kejatuhan (harga minyak dunia) itu memberi berita gembira (kepada kita)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Berdasarkan situasi semasa, pesuruhjaya PAS Kedah turut meramalkan harga pasaran minyak mentah dunia akan menurun lagi pada masa akan datang.

Mahfuz turut mempersoalkan kualiti minyak diesel negara "tidak mencapai" tahap standard antarabangsa yang ditetapkan pada kadar "Euro 5" sedangkan kini berada di tahap "Euro 2".

"Jadi kedua-dua Malaysia tak ikut (standard). Harga tak turun walau harga minyak mentah dunia turun dan tak ikut kualiti minyak antarabangsa," katanya yang juga ketua whip PAS di parlimen.

Mahfuz bersetuju dengan kenaikan minyak akan meningkatkan kenaikan harga barang dan inflasi sekalipun kerajaan menaikkan peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan dijangka memberi bonus kepada penjawat awam.

"Walaupun BR1M akan ditambah dan bonus diberikan, tapi ia tak diberikan setiap bulan. Ia tidak mengubah dan memberi kesan kepada penurunan kos sara hidup," katanya.

Harga petrol RON95 dan diesel akan naik 20sen seliter menjadikan harga pasaran kini RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.

Tergesa-gesa, kata Pemuda PAS

Sementara itu, Pemuda PAS pula menganggap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak memberi peluang kepada rakyat memberi pandangan balas.

Sayap kanan parti Islam itu juga mempersoalkan sama ada kerajaan sudah kering idea dengan menaikkan harga minyak untuk menampung perbelanjaan negara.

“Harga minyak adalah domino buat harga barang keperluan lain. Jika harga minyak naik bererti harga barangan lain akan turut naik,” kata ketuanya Suhaizan Kaiat ( kanan ).

“Mustahil kerajaan mampu mengawal kenaikan harga barang keperluan kerana sebelum ini pun harga barang tetap naik melambung walaupun telah diberi jaminan penguatkuasaan dan pemantauan ketat kerajaan terhadap peniaga dan pembekal.”

Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan juga berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan hanya seperti melepas batuk di tangga kerana ia sekadar bantuan jangka pendek.

Lihat Komen
ADS