Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MP Kuala Langat menggesa Menteri Besar Selangor, Azmin Ali agar mengkaji semula kedudukan abang kepada penulis blog Raja Petra Kamaruddin - Raja Idris – dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan prestasi yang didakwa kurang memberangsangkan.

Abdullah Sani ( bawah ) membuat cadangan itu sewaktu menggesa Azmin menyemak semula prestasi-prestasi GLC negeri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik kebelakangan ini.

Beliau mengambil contoh penutupan Hotel Quality Shah Alam di bawah Kumpulan Darul Ehsan dan prestasi kewangan Kumpulan perangsang yang menurutnya berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Raja Idris, 60 tahun, seorang warga British adalah pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPSB) dan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB), serta perunding eksekutif merangkap penasihat Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).

"Saya melihat latar belakang ini termasuklah kedudukan Yang Mulia Raja Idris jika perlu, dikaji semula kedudukan beliau untuk mengangkat martabat Selangor," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Pelantikan Raja Idris ke dalam GLC negeri pada tahun 2012 turut mencuri perhatian pemimpin-pemimpin BN Selangor yang mempertikaikan tindakan kerajaan negeri melantik seorang warganegara asing untuk mengetuai GLC.

Raja Idris pada masa itu mempertahankan pelantikannya atas alasan beliau adalah seorang kerabat diraja Selangor dan pelantikannya diperkenan oleh sultan Selangor.

'Tunjukkan bukan pendera'

Abdullah dalam sidang media yang sama turut menggesa kerajaan negeri agar mengkaji semula pemecatan dan pemberhentian pekerja-pekerja GLC.

Beliau merujuk kepada penamatan kontrak sebahagian kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kakitangan Quality Hotel yang hilang pekerjaan akibat penutupan hotel itu.

"Saya merayu menteri besar supaya buka balik fail-fail ini supaya penganiayaan menteri besar yang lalu dikembalikan keadilannya buat mereka.

"Saya mohon menteri besar baru dan penasihat ekonomi Selangor untuk tunjukkan bahawa kerajaan Selangor bukan pengkhianat atau pendera," katanya.

Lihat Komen
ADS