Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GALERI FOTO

Kira-kira 100 orang berhimpun depan bangunan Parlimen membantah tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan.

Demonstrasi PROTES itu disertai antaranya Pemuda PAS Malaysia bersama dengan PSM, aktivis NGO Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan kumpulan Asal Bukan Umno yang berhimpun di luar pintu masuk bangunan itu.

Turut serta wakil Sekreteriat PROTES, Aiman Athirah, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dan wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) Najib Abdul Rahim.

Terdapat di antara peserta memakai baju berwarna merah sambil melaungkan "bantah GST", "Mansuh GST" dan "Kadar miskin tegar bertambah" dan ada di antara mereka menyanyikan lagu “terima kasih Abang Najib”.

Kira-kira seramai 40 anggota polis mengawal peserta demonstrasi. Ia berlangsung selama sejam setengah bermula jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, mereka berarak sejauh 300 meter dari Tugu Negara hingga ke pintu masuk Parlimen dan membawa sepanduk antaranya bertulis "Kenaikan minyak kadar miskin tegar bertambah", "Mahu bagi rakyat makan pasir kah?" dan "GST membebankan".  

Seramai tujuh orang wakil yang diketuai Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaitan dibenarkan masuk ke kawasan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan kenaikkan harga petrol dan diesel sebanyak RM0.20 baru-baru ini.

Mereka menyerahkan memorandum itu kepada pegawai khas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Zain Zainal dan wakil Kelab Kumpulan Penyokong BN, Kolonel Omar Daud.

Memorandum itu turut diserahkan kepada ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat antaranya MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Khalid Samad (Shah Alam), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (MP Kuala Terengganu), dan Er Teck Hwa (MP Bakri)  

 

Dalam memorandum itu, mereka menuntut agar pihak kerajaan membatalkan pengurangan subsidi minyak dan mengurangkan semula RM0.40 harga minyak yang naik dalam tempoh 12 bulan.

Bangkit dalam Dewan Rakyat

Selain itu, kumpulan ini juga menuntut supaya kerajaan memansuhkan rancangan melaksanakan GST pada April 2015.

Sementara itu, Mahfuz yang juga ketua penerangan PAS berkata beliau berjanji akan membangkitkan isu rakyat itu dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

"Kami akan membawa ke perbahasan kami di parlimen dan juga sewaktu perbahasan pembentangan bajet 2015 nanti.

"Saya juga berjanji bagi pihak Pakatan yang kami sentiasa menjiwai semangat yang dibawa anda semua di sini," katanya.

Manakala Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan pula berkata kenaikan harga minyak itu menunjukkan kerajaan bersikap zalim dan menambah penderitaan rakyat.

"Tindakan pihak kerajaan yang melaksanakan cukai GST lebih menambah derita rakyat.

"Orang kaya bertambah kaya akan dilindungi oleh undang-undang dan orang miskin terus terabai,” katanya.

Sementara itu, Najib yang mewakili mahasiswa, berkata kumpulan itu menuntut harga minyak diturunkan kerana mahasiwa juga merasai beban akibat kenaikan minyak.

"Kami mahasiswa terasa terbeban. Kos sara hidup makin meningkat. Kami nak beli makanan di kantin, (harga) turut naik, saya menyeru kerajaan agar turunkan semula harga minyak," katanya.

Lihat Komen
ADS