Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Lewat ekstradisi Rizalman bukan salah kita

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menuding jari kepada New Zealand dalam kelewatan untuk mengekstradisi bekas atase, Muhammad Rizalman Ismail ke New Zealand atas tuduhan jenayah seks.

"Terakhir yang saya tahu, ia di pihak mereka," katanya ringkas pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tentang kelewatan ekstradisi itu - jika ia berlaku kerana masalah di Putrajaya atau di pihak Wellington.

Namun, Hishammuddin berkata beliau tiada maklumat baru tentang bila Rizalman akan diekstradisi.

MP Puchong, Gobind Deo Singh semalam bertanya jika Putrajaya sengaja melengah-lengahkan ekstradisi Rizalman sejak tuduhan ke atasnya diketahui umum, kita-kita lima bulan lalu.

Wisma Putra sebelum ini berulang kali menegaskan yang mereka bersedia menghantar Rizalman ke Wellington untuk berhadapan tuduhan itu dan sedang menunggu arahan lanjut dari Wellington.

Wellington sebelum ini menutup kemas mulut mereka tentang proses siasatan ke atas Rizalman namun minggu lepas mereka mendedahkan bahawa satu permohonan rasmi untuk mengekstradisi sudah difailkan.

Rizalman mencuri perhatian ramai apabila ditahan atas tuduhan pecah rumah dan serangan dengan niat untuk merogol namun, beliau dibawa pulang ke Malaysia akibat kecelaruan diplomatik.

Rizalman dituduh melakukan jenayah itu terhadap Tania Billingsley, 22 tahun pada 9 Mei, dan ditahan sehari kemudian.

Beliau pada masa itu bertugas di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington.

Rizalman bagaimanapun diterbangkan ke Malaysia pada 22 Mei selepas didakwa.

Beliau dipercayai menggunakan kekebalan diplomatik untuk berbuat demikian.

Satu kesilapan komunikasi di antara pihak dua negara dilaporkan menyebabkan Malaysia menyangka New Zealand tiada sebarang bantahan untuk Rizalman dibawa pulang ke Malaysia.

Lihat Komen
ADS