Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP, PKR dilapor hadir Oktoberfest
Diterbitkan:  Oct 12, 2014 1:31 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Pesta arak yang mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak dihadiri seramai 5,000 pengunjung termasuk pemimpin dari PKR dan DAP.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Sallehin Mukhyi berkata ia seharusnya dibuat secara tertutup dan tidak dihebahkan melalui papan tanda iklan yang tidak mengganggu masyarakat Islam, lapor Mingguan Malaysia .

“Kita tidak bersetuju dengan tindakan meletakkan papan tanda itu dan membuat hebahan secara terbuka.

“Jika majlis meminum minuman keras tersebut melibatkan bukan Islam dan diadakan secara tertutup tu adalah soal mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia .

Sallehin tidak mahu mengulas berkenaan mengenai kehadiran pemimpin Pakatan Rakyat di acara itu.

Sementara itu, Pesta arak itu seperti yang dilaporkan Mingguan Malaysia dilihat pengunjung yang hadir bersuka meminum minuman keras dengan latar muzik yang kuat.

Dilaporkan hadir sama dalam pesta arak itu ialah exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong yang turut mengucapkan terima kasih kepada 5000 pengunjung yang hadir termasuk ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok.

Antara pemimpin Pakatan lain yang dilapor hadir adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, pemimpin PKR , R Sivarasa, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv dan ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Sebelum ini, Dewan Ulama PAS membantah sekeras-kerasnya penganjuran Oktoberfest ini dan mengambil tindakan kepada pihak penganjur.

Pesta arak ini bermula pada 24 September lalu di beberapa lokasi di sekitar Selangor dan acara kemuncaknya adalah semalam dan hari ini di tempat letak kereta One Utama.

Lihat Komen
ADS