Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Majlis Syura PAS nasihat ahli tak terlibat PasMa
Diterbitkan:  Oct 13, 2014 12:00 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Majlis Syura Ulama PAS menasihatkan anggota parti supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dilihat "boleh memecah belahkan ahli-ahli PAS".

Setiausaha majlis itu Datuk Nik Muhammad Zawawi Saleh berkata peringatan itu diberikan selaras dengan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar PAS supaya tidak mewujudkan jamaah dalam jamaah.

"Kawasan-kawasan dan Badan Perhubungan Negeri juga dinasihatkan membuat laporan bertulis kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama sekiranya tindak-tanduk seumpama itu juga berlaku di peringkat masing-masing untuk diambil tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli PAS tidak dibenarkan menyertai PasMa kecuali mereka keluar dari parti Islam itu.

 

Bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata kenyataan beliau itu telah dilaporkan secara tidak tepat dengan berkata ahli PAS tidak dilarang menyertai mana-mana NGO.

"Namun 'sekiranya NGO tersebut bertukar menjadi sebuah parti politik', maka ahli PAS dilarang menyertainya, melainkan ia bukan lagi ahli PAS," katanya.

 

Penubuhan PasMa yang diketuai ADUN Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi, bertujuan mahu mengukuhkan kerjasama di antara Pakatan Rakyat melalui dialog dan wacana dan tidak bermaksud untuk menggantikan PAS.

Dalam kenyatannya juga, Nik Zawawi berkata badan tertinggi dalam PAS itu mengingatkan ahli berhubung kewujudan perancangan antarabangsa untuk melemahkan gerakan Islam menerusi pelbagai cara.

"Majlis Syura Ulamak juga memperingatkan ahli-ahli PAS tentang kewujudan perancangan antarabangsa yang bergerak aktif menerusi pelbagai medium untuk melemahkan gerakan Islam, membuang label politik Islam daripada parti-parti Islam, menjadikan parti Islam hanya memperjuangkan politik tanpa dakwah.

"Dan mengenepikan perjuangan menegakkan syariat Islam yang luas merangkumi ekonomi, sosial, kebajikan dan undang-undang jenayah dengan dikecilkan kepada kebajikan yang sempit," katanya.

Lihat Komen
ADS