Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara 18 pembesar dan kenamaan asing yang dijadual menghadiri upacara mengangkat sumpah Joko Widodo sebagai Presiden baharu Indonesia di Jakarta esok.

Menurut kenyataan Wisma Putra yang dikeluarkan kepada delegasi media Malaysia yang berada di Kuala Lumpur, Perdana Menteri akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuala Lumpur petang ini dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Upacara itu akan berlangsung pukul 10 pagi esok di hadapan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi Indonesia.

Wisma Putra berkata sempena lawatan rasmi dua hari ini, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry yang turut berada di sini, sejurus selepas tamat upacara pelantikan Presiden Republik Indonesia yang ketujuh itu.

Gabenor Jakarta Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai "Jokowi" dan gandingannya Jusuf Kalla memenangi pilihan raya Presiden apabila memperoleh 70,990,832 undi atau 53.15 peratus daripada sejumlah 133,567,276 undi.

Calon lawannya Prabowo Subianto dan gandingannya Hatta Rajasa memperoleh 62,576,444 atau 46.85 peratus.

Jokowi akan mengambil alih jawatan itu daripada Susilo Bambang Yudhoyono, yang menjadi Presiden sejak tahun 2004.

Sementara itu, persediaaan bagi menyambut presiden baharu Indonesia berlangsung meriah di kota ini dengan pelbagai majlis dan aktiviti disusun bermula esok membabitkan pertemuan Jokowi dan rakyat.

Sejurus selepas upacara itu, Jokowi akan membuat ucapan sulung sebagai Presiden baharu yang akan disiarkan secara langsung ke seluruh republik itu, yang bakal menggambarkan perancangan dan usaha Jokowi untuk membangunkan Indonesia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Keghairahan rakyat Indonesia itu jelas tergambar melalui liputan media massa Indonesia khususnya stesen televisyen tempatan yang secara berterusan memaparkan bahan-bahan berita dan temu bual bersama pemimpin tempatan, ahli perniagaan dan rakyat mengenai harapan mereka terhadap Jokowi.

Selain itu, sebanyak 24,000 anggota keselamatan dan polis turut dikerah di seluruh kota ini bagi memastikan majlis selama dua jam esok berjalan lancar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS