Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Untuk meningkatkan keberkesanannya, sektor awam perlu mengkaji semula dan memperhalusi pendekatan yang digunakan dalam tadbir urus dari semasa ke semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan bahawa aturan dan amalan tadbir urus yang berkesan adalah penting bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang mantap, lestari dan bertanggungjawab.

Kata beliau ia juga akan membolehkan agensi perkhidmatan awam mencapai hasil terbaik bagi kerajaan, sejajar dengan keperluan perundangan dan dasar masing-masing.

"Di samping itu, mereka juga perlu memberi fokus terhadap prestasi yang meliputi kecekapan, keberkesanan dan penyampaian secara berterusan," kata beliau dalam ucaptama ketika merasmikan persidangan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Persidangan dwitahunan ini diadakan bersempena ulang tahun ke-20 CAPAM.

Muhyiddin berkata untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam menyampaikan program serta perkhidmatan kepada rakyat, perkhidmatan awam perlu melakukan inovasi dan mengurus risiko dengan berkesan dalam menghadapi kekangan kewangan.

"Ia perlu berganding bahu secara berkesan dengan pemegang kepentingan dan rakyat dalam menyampaikan program serta perkhidmatan. Ia juga perlu bekerjasama secara strategik dalam lingkungan sempadan dan merentasi sempadan bagi menangani isu-isu kompleks," katanya.

Muhyiddin berkata megatrend global yang memberi kesan terhadap semua kerajaan hari ini ialah pemerkasaan individu.

Peningkatan pendapatan, kenaikan tahap pendidikan dan persekitaran teknologi yang bersifat rangkaian menyumbang kepada kewujudan warganegara yang bermotivasi tinggi serta menuntut kualiti perkhidmatan lebih tinggi daripada kerajaan dan penyedia perkhidmatan, katanya.

"Hari ini, kebanyakan rakyat terdiri daripada manusia yang bermaklumat, yang dapat mengakses dan berkongsi maklumat serta melibatkan diri dalam perbincangan tentang apa jua subjek, dalam lingkungan sempadan dan di luar sempadan.

"Mereka bukan sahaja mengharapkan perkhidmatan berkualiti disampaikan secara cekap, tetapi juga menuntut tahap interaksi dan penyertaan lebih tinggi dalam proses membuat keputusan," katanya.

Muhyiddin berkata pola ini dijangka berterusan hingga ke dekad akan datang bagi menyambut kedatangan era baharu dalam sejarah manusia yang diiringi kelahiran kelas menengah secara berterusan.

Berdasarkan hakikat itu, tegas beliau, pembabitan rakyat juga penting dalam perancangan dan pelaksanaan program kerajaan.

"Mendengar dan memahami keperluan pengguna melalui wawasan pelanggan serta menyampikan hasil yang diingini rakyat, memerlukan penggunaan kaedah operasi baharu," katanya.

Mengenai CAPAM, timbalan perdana menteri berkata pertubuhan bukan bertujuan mencari keuntungan itu berperanan penting dalam meningkatkan kemampuan tadbir urus sektor awam serta memupuk budaya berorganisasi yang mampu memberi respons secara segera dan bijaksana terhadap perubahan keutamaan.

Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa atas pemilihan beliau sebagai presiden CAPAM bagi penggal 2014-2016. Kira-kira 1,500 anggota perwakilan dari 53 negara menghadiri persidangan tiga hari itu, yang bermula Ahad.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanwel serta bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'.

- Bernama

Lihat Komen
ADS