Kesatuan jalan kaki bantah isu cabul hak berpesatuan

Anne Muhammad        

Kira-kira 150 pekerja termasuk 20 pemimpin kesatuan pekerja hari ini berjalan kaki bagi menyerahkan memorandum membantah pencabulan hak berpesatuan.

Kumpulan ini bergerak daripada stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bermula jam 10 pagi dalam dua kumpulan secara berasingan menuju ke pejabat Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Mereka yang memakai baju berwarna hitam melaungkan "Hidup pekerja" dan "Hentikan pencabulan hak pekerja" dan ada di antara mereka menyanyikan lagu KTMB sambil memegang sepanduk "Jangan cabul hak kami".

 

Bagi kumpulan pertama, mereka menyerahkan memorandum di Majlis Peguam terlebih dahulu sebelum bertemu kumpulan kedua yang berkumpul depan pusat membeli belah Sogo bagi menyerahkan memorandum kepada Suhakam.

Antara wakil kesatuan sekerja yang terlibat dalam kempen itu ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE).

Hadir sama Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu, Syed Shahir Syed Mohamud.

Sementara, Presiden MTUC Khalid Atan yang mengetuai kumpulan pertama menyerahkan memorandum itu kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Peguam Chan Oy Sim di pejabat Majlis itu.

Memorandum itu antara lain meminta Majlis Peguam dan Suhakam mendesak kerajaan menghentikan segala dakwaan pencabulan hak kesatuan pekerja dan memperkenal undang-undang yang lebih berkesan bagi menghalang majikan melakukan pencabulan hak berpesatuan di kalangan pekerja.

Mereka kemudiannya berjalan kaki menuju ke pusat membeli belah Sogo bagi menyerahkan memorandum kepada Suhakam bersama-sama dengan ahli kesatuan yang lain.

Sementara itu, kira-kira jam 12.00 tengahari, Khalid bersama Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan dan beberapa wakil RUM dan Nufam menemui Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam untuk menyerahkan memorandum dan mengadakan perbincangan selama 10 minit.

Sebelum itu, Abdul Razak berkata kempen berjalan kaki secara aman ini adalah kemuncak terhadap tindakan menamatkan perkhidmatan 41 pekerja KTMB kerana berpiket.

“Kita berjalan kaki hari ini untuk mengutuk pencabulan berpesatuan yang boleh menghancurkan kesatuan pekerja di negara ini”

“Pencabulan ini memberi kesan yang buruk kepada masa depan pekerja di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, RUM mencabar presiden syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir berdebat dengan pihak kesatuan bagi menjelaskan sebab pemecatan anggotanya dari syarikat tersebut.

Kira-kira jam 12.45 tengahari peserta yang menyertai perhimpunan itu bersurai secara aman.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In