Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu mohon bantuan rawat anak
Diterbitkan:  Oct 21, 2014 9:25 AM
Dikemaskini: 5:45 AM

Seorang ibu memohon simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban merawat anak lelakinya berusia 17 bulan yang menurut doktor menderita masalah usus kronik.

    

Kini hanya mampu terlantar dan merengek, Mohamad Qushairy Zakaria turut mengalami penurunan berat badan sehingga menampakkan bonjolan tulang.

Ibunya, Rosnani Jaafar, 35, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu turut mengalami masalah kerap membuang air besar selepas diberi makan atau minum susu.

    

"Kadang-kadang sehari sehingga 20 kali anak saya buang air besar. Berat badannya kini hanya 3.2 kilogram," kata wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Kemaman, Terengganu, dalam nada sugul ketika ditemui pemberita di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam.

Menurut Rosnani, Mohamad Qushairy sepatutnya dibawa mendapatkan rawatan ketika berusia empat bulan, namun kekangan kewangan menyekatnya daripada berbuat demikian.

    

"Waktu itu doktor sudah suruh saya mendapatkan rawatan untuk anak sayatetapi duit tak cukup dan saya kena kerja kerana ada dua lagi anak masih bersekolah berusia sembilan dan 13 tahun yang tinggal bersama saya," jelas Rosnani yang turut mempunyai seorang lagi anak berusia tiga tahun.

    

Keadaan Mohamad Qushairy semakin teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Kemaman pada 7 Oktober lepas sebelum dipindahkan ke PPUM pada 17 Oktober.

    

Disebabkan kesempitan hidup, Rosnani berkata kos rawatan RM250 di Hospital Kemaman masih belum dapat dijelaskan.

    

"Sekarang inipun saya hanya mampu bertawakal sahaja," kata wanita itu sambil menjelaskan Mohamad Qushairy merupakan hasil perkahwinan keduanya, dengan Zakaria Din, 26, yang bekerja sebagai tukang rumah.

    

Rosnani turut berkata dirinya diuji lagi apabila ibunya, Jamilah Taib, 70, kini terlantar sejak lapan bulan lalu akibat angin ahmar.

Menurut Rosnani, Zakaria mempunyai pendapatan tidak tetap manakala dirinya sendiri hanya membawa pulang kira-kira RM300 seminggu.

"Kami perlu membelanjakan sekitar RM650 sebulan bagi keperluan barangan dapur, bil api dan air serta belanja sekolah," katanya sambil menambah pasangan itu membelanjakan kira-kira RM300 sebulan untuk keperluan Mohamad Qushairy.

Bantuan kewangan boleh disalurkan menerusi akaun Affin Islamic Bank bernombor 205-1106-59094 atas nama Rosnani Jaafar atau menghubungi talian 011-31824084 atau 010-9025953.

- Bernama

Lihat Komen
ADS