Chong Wei dikatakan atlet gagal ujian doping

   

Nama ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei dikaitkan oleh media sebagai atlet yang gagal dalam ujian doping oleh Agensi Anti Doping Antarabangsa (WADA) dalam satu kejohanan antarabangsa.

mStar dan syarikat induknya, The Star menerbitkan berita menyatakan Lee, 32 dipercayai 'atlet elit' yang gagal ujian doping dalam satu kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

Bagaimanapun tiada sebarang maklumat lanjut didedahkan.

Portal dan akhbar Sin Chew Daily turut melaporkan perkara sama.

Semalam TV3 dalam slot beritanya juga melaporkan Lee mungkin atlet yang gagal ujian doping itu.

Menteri masih enggan dedah

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin semalam enggan memberitahu nama atlet tersebut kerana perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan persatuan sukan antarabangsa.

“Kita tidak akan memberitahu siapa nama atlet tersebut kerana perlu menunggu sehingga 'sample B' selesai diuji.

“Mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh persatuan sukan antarabangsa (sukan tersebut) mereka tidak akan umumkan nama atlet sehingga ujian 'sample B' selesai maka kita juga tidak akan maklumkannya.

“Saya tidak akan memberitahu nama atlet serta jenis sukan kerana ini untuk memberi perlindungan kepada atlet tersebut dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di ibu negara," kata beliau semalam.

Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) telah menerima surat mengenai keputusan doping itu pada 1 Oktober lalu.

Atlet itu telah memohon ujian 'sample B' pada 16 Oktober lalu tetapi masih lagi menunggu tarikh untuk sample tersebut diuji.

Khairy semalam turut memaklumkan atlet tersebut ingin pergi sendiri menyaksikan ujian 'sample B' tersebut yang akan dibuat di luar negara.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In