Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Anthony Nogeh mendakwa dua pemimpin Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) berbohong mengenai keanggotaan BN mereka.

Kedua pemimpin TERAS itu - presidennya William Mawan Ikom dan Setiausaha Agung Sylvester Entri didakwa oleh Nogeh mengambil kesempatan kelonggaran masa Ketua Menteri Datuk Seri Adenan Satem membenarkan keduanya menjadi menteri negeri sehingga pilihan raya negeri tahun depan walaupun bukan lagi anggota BN.

"Dakwaan mereka berniat jahat dan penipuan. Tidak ada sebarang kenyataan bahawa TERAS telah menyertai BN," kata Nogeh dalam kenyataannya semalam.

Mawan yang juga menteri pembangunan sosial negeri bersama tiga pembantu menteri iaitu Peter Nansian (ADUN Tasik Biru), Entri (Marudi) dan Rosey Yunus (Bekenu) serta seorang lagi keluar dari SPDP dan menyertai TERAS Mei tahun ini.

Permohonan TERAS untuk menyertai BN dibantah keras SPDP tetapi Nogeh yang juga MP Mas Gading mendakwa Mawan dan Entri memberitahu masyarakat rumah panjang di Niah dan Marudi bahawa mereka sudah diterima ke dalam BN.

"Tidak mungkin TERAS dibenarkan ke BN negeri kerana kemasukannya mesti dipersetujui semua parti komponen BN. SDPD, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah menyatakan penentangan mereka terhadap kemasukan TERAS (ke BN)," kata beliau.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS