Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembalak haram didakwa cuba rasuah polis
Diterbitkan:  Oct 22, 2014 4:10 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching hari ini atas dakwaan cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis yang menahannya kerana melakukan pembalakan haram.

Ling Sing Ching, 50, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin selepas dia mengaku tidak bersalah cuba menawarkan rasuah RM2,000 kepada ASP Mohd Mazlan Mohd Ariff, sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Hakim perbicaraan, Nixon Kennedy Kumbong, dimaklumkan bahawa Ling menawarkan wang tunai itu kepada Mohd Mazlan apabila mereka berdua bertemu di sebuah restoran di Lorong Lapangan Terbang di sini pada 4.45 petang, 4 Sept lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ling dituduh melakukan perbuatan itu selepas dia didakwa melakukan aktiviti pembalakan tanpa lesen sah yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sarawak.

Nixon menetapkan 24 hingga 26 Nov bagi perbicaraan kes. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada SPRM, Ikhwan Mohd Ibrahim manakala peguam Francis Wee mewakili Ling.

Dalam kes berasingan, seorang sarjan polis berumur 52 tahun mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan menerima rasuah RM1,500 daripada seorang pesalah trafik.

Zainudin Samad, yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan, didakwa menerima suapan daripada Rano Paiman, yang sebelum itu disaman kerana memandu secara cuai.

Nixon memerintahkan Zainudin dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjaman sementara menunggu perbicaraan kesnya yang ditetapkan mulai 17 Nov tahun ini.

Ikhwan turut mengendalikan pendakwaan kes ini manakala Zainudin diwakili peguam Abd Rahman Mohd Hazmi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS