Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Pembangkang bangkitkan segala-gala
Diterbitkan:  Oct 23, 2014 12:00 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Kes gesaan membakar Bible berbahasa Melayu oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali masih tidak jelas sama ada sudah ditutup atau pun tidak ekoran tiada tindakan diambil terhadapnya.

Malah, jawapan polis juga hari ini tidak memberikan jawapan jelas berhubung persoalan itu.

Ditanya pemberita sama ada kes itu telah ditutup, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata “ia tidak bermaksud begitu”.

“Ia tidak bermaksud, begitu bila saya kata saya tidak mahu ulas lebih lanjut, ia ditutup. Tetapi saya kata sudah ada banyak komen. Kita akan menjalankan tugas kita mengikut perundangan yang ada,” katanya,

Katanya, jika beliau terus mengulasnya, ia akan mengundang ulasan balas pihak lain.

“Buat apa kita nak memburukkan keadaan. Biarkan kita jalankan tugas kita. Apabila tiba masa untuk tindakan yang akan ambil nanti, saudara pasti akan dimaklumkan,” katanya.

Beliau sebelum itu ditanya berhubung kebimbangan pembangkang berhubung kes Ibrahim itu dan sama ada polis masih menyiasatnya.

“Pihak pembangkang ini membangkitkan segala-gala nya. Mereka bimbangkan banyak perkara.

“Tetapi perkara-perkara ini telah pun dijawab, telah pun diberi ulasan oleh AG (peguam negara), oleh menteri sendiri, tak payahlah saya tambah lagi,” katanya.

Jabatan Peguam Negara pada 9 Oktober lalu dilapor memutuskan tidak mendakwa Ibrahim setelah meneliti konteks ucapan yang dibuatnya berlandaskan semangat Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu berhubung sekatan pengembangan agama lain di kalangan penganut agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri juga dilapor berkata, Keputusan itu diambil setelah menimbang hasil siasatan polis.

Sementara itu, ditanya berhubung status siasatan terhadap pencetus kontroversi baru “pendatang” Tan Lai Soon, yang kini digantung keahliannya oleh Gerakan, polis berkata berkata itu masih dalam siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS