Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sentuh anjing bertentangan mazhab Shafie'
Diterbitkan:  Oct 23, 2014 4:16 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Muzakarah Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan isu segelintir umat Islam menyentuh dan memegang anjing adalah bertentangan dengan fahaman majoriti umat Islam di negara ini yang berpegang kepada mazhab Imam Shafie.

    

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Islam memuliakan haiwan termasuk anjing namun umat Islam perlu mematuhi ketetapan ditentukan oleh hukum syarak.

    

"Bagaimanapun dalam aspek hukum, soal kemuliaan satu hal dan dalam aspek hukum pula umat Islam perlu mematuhi ketetapan ditentukan oleh hukum syarak di dalam Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    

Beliau berkata demikian selepas menutup Majlis Multaqa' Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia 2014 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustaffa dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaaan Brig Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

    

Jamil Khir berkata Jakim akan memanggil penganjur pertunjukan anjing berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai perkara itu kerana pihak penganjur terutama ustaz yang terlibat mendakwa, beliau tidak diperjelaskan kedudukan sebenar mengenai perkara itu (pertunjukan anjing).

"Bagaimanapun Jakim dalam masa terdekat ini akan memanggil penganjur supaya kita tidak terperangkap dengan isu berkenaan," katanya.

    

Beliau berkata beberapa isu besar lain yang dibincangkan antaranya mengenai kumpulan militan Negara Iraq dan Syria (IS) iaitu jihad umat Islam Malaysia di Syria, cukai barang dan perkhidmatan (CBP) dan derma rahim.

    

Katanya mengenai IS, Majlis Fatwa merumuskan iaitu berdasarkan kajian dan hujah-hujah melalui nas-nas syarak mendapati umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia masih lagi keliru berhubung konteks jihad dan mati syahid dan oleh itu mereka yang sanggup berjuang di Syria atas nama IS adalah bertentangan dengan hukum syarak.

    

Mengenai CBP yang akan dilaksanakan kerajaan pada April tahun depan, beliau berkata Majlis Fatwa telah berbincang mengenai isu itu di mana Islam mengharuskan Ulil Amri atau pihak pemerintah kerajaan untuk mengutip cukai dan ia hendaklah dilakukan dalam kerangka syarak.

    

Berhubung isu menderma rahim untuk mengandung dan sebagainya yang sudah berlaku pada masa ini, Majlis Fatwa mengambil ketetapan yang ia tidak diharuskan kecuali dalam keadaan darurat.

    

Jamil Khir berkata semua butiran berhubung ketetapan yang diambil pada Majlis Fatwa yang bersidang itu akan dikeluarkan oleh Urusetia Jawatankuasa Fatwa Malaysia tidak lama lagi.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS