Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin mahu teruskan amalan Jokowi
Diterbitkan:  Oct 24, 2014 5:28 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata beliau akan terus mengamalkan gaya pentadbiran Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dengan menumpukan program turun padang untuk bertemu warga negeri itu.

Laporan Astro Awani menyebut, beliau akan menurut amalan Jokowi yang hanya meluangkan sedikit masa di pejabat.

"Saya kenal Bapak Jokowi dan pernah mengunjunginya tahun lalu, Jokowi kata kepada saya... 'Azmin, masa saya hanya 20 peratus di pejabat, selebihnya di lapangan bersama rakyat'.

"Ya, saya mahu tiru cara dia, kerana itu, saya komited untuk sentiasa bersama rakyat dan mendengar keluhan hati mereka," katanya seperti dipetik dalam laporan laman itu.

Beliau mengulas mengenai program lawatan untuk meninjau masalah di sekitar negeri itu sebaik selepas mengangkat sumpah jawatan, akhir bulan lalu.

Program tinjauan itu dipopularkan dengan istilah 'terjah' – seperti istilah pop yang merujuk kepada temubual mengejut oleh wartawan hiburan ke atas golongan artis.

Jokowi pula dikenali ramai dengan gaya 'blusukan' (istilah Indonesia untuk turun padang) sejak beliau berkempen untuk jawatan gabenor Jakarta lagi sebelum menang pemilihan presiden Indonesia.

Azmin memulakan program itu dengan meninjau pusat pembuangan sampah haram dan penempatan setinggan pendatang asing di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves.

Ia diteruskan dengan tinjauan ke Pulau Ketam yang dibelenggu masalah sampah dan untuk mendengar keluhan penduduk di penempatan di atas tanah dengan lesen menduduki sementara itu.

Ia diteruskan hari ini dengan kunjungan ke kawasan tanaman padi di Sekinchan.

Lihat Komen
ADS