Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghuni Apmt Teratai dibenar pulang esok
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 10:24 AM
Dikemaskini: 2:26 AM

Penghuni Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung di Hulu Selangor yang terjejas dalam insiden tanah runtuh di kawasan itu, dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada Ahad atau Isnin ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata kebenaran itu akan diberi sekiranya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan tiada pergerakan tanah baharu di kawasan itu.

"Kerja pemasangan cerucuk penghadang besi oleh JKR dijangka selesai esok  dan pemantauan teliti akan terus dijalankan selama 24 jam bagi memastikan tiada lagi pergerakan tanah baharu berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Memberi data terbaru mengenai penduduk terlibat, Ahmad Suaidi berkata 289 keluarga merangkumi 1,163 individu yang mendiami blok K dan L dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan tanah runtuh yang berlaku Isnin lepas.

Menurut Ahmad Suaidi, JKR memasang kanvas di lokasi runtuhan untuk menghalang air daripada masuk.

Pihak JKR akan membuang tanah yang runtuh untuk melandaikan cerun dan mengurangkan bebanan tanah di lokasi runtuhan, katanya.

"Daripada pemantauan awal yang dibuat, struktur blok K dan L di Apartmen Teratai masih selamat didiami," kata Ahmad Suaidi.

Beliau berkata satu jawatankuasa khas dijangka dibentuk dalam masa terdekat merangkumi pihak JKR, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Tenaga Nasional Berhad dan agensi lain yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian kekal terhadap masalah tanah runtuh di kawasan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS