Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tiada apa dapat "mendamaikan semula" hubungan beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat beliau pada 1998.

"Apa lagi yang ada untuk perdamaian semula? Apa isunya? Adakah ia demokrasi, kebebasan, kebebasan kehakiman, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hasutan?," soalnya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Anwar, 67, berdepan kemungkinan untuk kembali meringkuk di penjara sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari Selasa tidak memihak padanya.

Menurut Anwar, tiada sebab baginya untuk bertemu dengan Mahathir kerana beliau percaya bekas ketuanya itu mewakili "pemikiran kolot" era dahulu dan tidak lagi relevan.

“Saya telah memaafkan dia tetapi dia asyik mengulang (tuduhan) sama," katanya dengan sinis apabila ditanya sekiranya beliau sudahpun memaafkan Mahathir atas tindakan yang dikenakan ke atasnya.

Mahathir memecat Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri dan juga menteri kewangan pada tahun 1998.

MP Permatang Pauh itu kemudiannya ditangkap dan dituduh atas tuduhan meliwat bekas pemandunya dan juga kes pecah amanah.

Semasa dalam tahanan, beliau diserang oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sehingga matanya lebam, dan seterusnya dipenjara enam tahun atas tuduhan pecah amanah.

Gerakan Reformasi yang digerakkan bagi menyokong Anwar dalam tempoh itu kini berkembang menjadi parti PKR, dan bergabung dengan parti pembangkang DAP serta PAS dalam Pakatan Rakyat.

Anwar juga percaya bahawa Mahathir tidak lagi mampu mempengaruhi rakyat dan pimpinannya.

"Dulu orang takut kepada beliau kerana beliau mungkin ada perkara yang dapat memalukan atau menunjukkan kesalahan orang itu," kata Anwar.

Katanya, beliau kini tidak lagi memendam dendam dan tidak ingin lagi bertegang leher dengan Mahathir – yang pernah membawa beliau masuk ke Umno dan menjadi mentornya satu ketika dulu.

Beliau berkata kini hanya melihat sudut positif dan mengenang semula bagaimana Mahathir pernah berlembut dan bertolak ansur dengannya ketika itu.

Mengimbau semula saat itu, Anwar menceritakan mengenai desakannya agar kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat skandal Bumiputera Malaysia Finance berhubung penggelapan dana berbillion ringgit satu ketika dulu.

Menurutnya kenyataan itu mencetus kontroversi dan memberi tekanan kepada Umno.

Namun, Mahathir dengan lemah lembut meminta beliau, yang menjadi ketua Pemuda Umno ketika itu,

agar bertemu dengan perdana menteri itu terlebih dahulu.

Mahathir boleh berlembut dalam kes sebegitu, namun apa yang dilakukannya semasa mengetuai pentadbiran negara “terlalu sukar untuk diterima”, kata Anwar.

"Walaupun saya puas kerana dapat salahkan Mahathir, ia bukan tujuannya kerana beberapa tuduhan (ke atas dirinya) tiada kena mengena dengan (Mahathir).

"Tetapi dia memulakan kemunduran negara dari segi pentadbiran dan kehakiman. Mahathir menghancurkan kebebasan sistem kehakiman, kebebasan media dan menyebabkan ramai rakyat sengsara," kata beliau


Wawancara dijalankan oleh Radzi Razak, Zakiah Koya, Hafiz Yatim, Alyaa Azhar dan Prasadh Michael.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS