Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaki Gunung Keriang jadi tempat longgok sampah
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 7:10 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Kira-kira 500 penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Keriang menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di kaki gunung itu sejak beberapa bulan lalu.    

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gunung Hilir, Abdul Halim Arifin, 60, mendakwa tempat tersebut menjadi kawasan longgokan sampah dan sekam padi sejak beberapa bulan.

"Ada pihak luar yang datang membuang sampah, sekam padi dan kayu di sini, ia membimbangkan penduduk kampung kerana tempat berkenaan menjadi tempat pembiakan nyamuk selain mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

"Permukaan jalan di kawasan tersebut juga mengalami kerosakan akibat jentera berat yang membawa muatan sampah di kawasan itu," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Abdul Halim berkata longgokan sampah itu juga boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke Gunung Keriang yang terletak berdekatan dengan tempat tarikan perlancongan seperti Muzium Padi dan Pusat Sains Negara.

"Tempat longgokan sampah itu berada berdekatan dengan Pusat Rekreasi Gunung Keriang, Muzium Padi, Pusat Sains dan Keriang Hills. Saya bimbang ia akan menimbulkan persepsi kurang baik kepada pelancong luar yang melihat kawasan pelancongan di situ tidak dijaga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga dan Pembangunan Insan negeri Badrol Hisham Hashim berkata tindakan segera akan diambil.

Katanya pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu membersihkan serta memantau gejala itu kerana ia melibatkan kawasan pelancongan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS