Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MP Pandan Rafizi Ramli berkata kerajaan menghabiskan RM350 juta dari wang subsidi kepada rakyat untuk membayar syarikat insurans bagi pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Beliau berkata kutipan itu adalah berdasarkan jawapan bertulis di mana setiap penerima BR1M membayar RM50 untuk bayaran Takaful.

Bagaimanapun jawapan sama daripada Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak 9 Oktober lalu mengesahkan setakat September lalu hanya RM42 juta dituntut daripada RM350 juta yang dibayar.

Ini bermakna, menurut Rafizi, kerajaan memberi untung bersih lebih RM300 juta kepada syarikat konsortium insurans ini.

"Duit yang dibayar adalah termasuk duit bantuan. Jadi bantuan tidak sampai kepada rakyat sebaliknya kepada syarikat besar dan ejen yang mendapat untung dari perkara ini," kata beliau dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Bayaran insurans yang dipanggil i-BR1M itu adalah penambahbaikan program BR1M di mana RM50 daripada jumlah bantuan tersebut ditolak bagi pembayaran premium insurans.

Ia memberi perlindungan takaful kepada penerima BR1M bagi kategori isi rumah dengan kerajaan menyediakan premium sebanyak RM50, dan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

 

Rafizi turut mempersoalkan sama ada kerajaan mengkaji terlebih dahulu jumlah tuntutan skim berkenaan dan penggunaan wang yang sepatutnya diberikan kepada rakyat.

 

"Oleh demikian saya yakin ada unsur mengambil keuntungan oleh pihak tertentu dengan menggunakan nama rakyat sebagai alasan.

"Siapa individu yang bertanggungjawab membawa cadangan ini kepada kerajaan? Broker ini perlu dihukum.

"Dan syarikat mana yang mendapat komisen memperkenalkan skim i-BR1M kepada konsortium syarikat insurans dan berapa komisen yang dibayar kepada mereka?" katanya.

Lihat Komen
ADS