Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hutang negara turun hampir dua peratus berbanding daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

Ini merupakan kali pertama hutang negara turun sejak Najib yang juga perdana menteri mengambil alih pentadbiran kerajaan pada 2009.

Dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) Najib menyatakan jumlah hutang negara tahun ini berjumlah RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada KDNK, iaitu RM552.7 bilion hutang domestik dan baki RM16.2 bilion adalah pinjaman luar pesisir.

Hutang negara pada 2013 pula ialah RM547.6 billion atau 54.7 peratus - lebih 1.9 peratus berbanding tahun ini.

"Kedudukan hutang kerajaan ini kekal terurus di bawah 55 peratus daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," kata beliau.

Pada 2010, hutang negara sebanyak RM407.1 bilion atau 51.1% daripada KDNK; pada 2011, RM456.1 bilion (atau 51.5%); pada 2012 sebanyak RM501.6 bilion (53.3%) dan naik kepada RM547.6 bilion (54.7%) pada tahun lalu.

Menurut Najib, sehingga kini kerajaan telah membayar balik semua hutang dan bayaran khidmat hutang dengan teratur serta mengikut jadual.

Beliau menyatakan ia hasil daripada pengurusan hutang yang berhemat diamalkan kerajaan di mana pembayaran dilakukan mengikut kemampuan dan jumlah hasil setiap tahun.

"Bayaran khidmat hutang dijangka kekal terurus pada 10.3 peratus daripada hasil, jauh di bawah paras 15 peratus seperti yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal," katanya.

Lihat Komen
ADS