Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keadaan tenang di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya menjadi kecoh sekali lagi petang ini apabila kira-kira 15 orang dipercayai penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tiba-tiba cuba merempuh pagar penghadang.

Mereka kelihatan membaling telur ke arah anggota polis yang bertugas.

Kejadian jam 2.25 petang itu terjadi ketika ramai penyokong sedang duduk sambil melihat persembahan nyanyian oleh kumpulan aktivis.

Kumpulan penyokong tersebut membaling beberapa biji telur yang terkena seorang anggota polis dan dua jurufoto yang berada dekat situ.

Salah seorang daripadanya ialah jurufoto NST, Mohamad Shahril Badri Saali.

Selepas itu, mereka cuba merempuh pagar penghadang tetapi ia berjaya dihalang oleh anggota polis.

Bagaimanapun keadaan kembali terkawal selepas kumpulan tersebut dileraikan oleh beberapa penyokong lain yang berada berhampiran mereka. 

 
Selepas kejadian itu, Ketua Polis Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid mengarahkan supaya Polis Unit Rusuhan dalam keadaan bersedia. 
 
Selepas itu , Ketua AMK  Nik Nazmi Nik Ahmad  dan ADUN Taman Medan, Haniza Talha bersama beberapa anggota PKR lain  meminta pihak polis membuka pagar hadangan bagi membenarkan penyokong berteduh di bawah khemah yang ada di hadapan Istana Kehakiman memandangkan cuaca hujan renyai. 
 
Selepas beberapa minit berunding, Abdul Razak membenarkan kesemua kira-kira 300 penyokong untuk duduk di bawah khemah berkenaan. 
 
Ketika ditemui pemberita, Abdul Razak berkata, beliau memberi kebenaran kepada penyokong itu untuk berteduh atas dasar kemanusiaan. 
 
"Kita benarkan mereka masuk atas dasar kemanusiaan," katanya ringkas. 
 
Sebelum kejadian kekecohan itu berlaku, penyokong dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan aktivis serta ceramah ringkas oleh pimpinan PKR peringkat negeri. 
 
Penyokong juga kelihatan santai dengan duduk di sekitar perkarangan Istana Kehakiman sambil makan makanan yang dibeli daripada gerai berhampiran. 
 
Mereka juga sebelum itu menunaikan solat Zohor secara berjemaah dan membaca Yassin dan selawat beramai-ramai.

Lihat Komen
ADS