Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang MP BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menggesa kerajaan menilai semula peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang menurutnya tidak mendatangkan hasil kepada negara.

Katanya, peranan PEMANDU juga sepatutnya diletakkan semula bawah Unit Perancang Ekonomi agar tidak bertindan dan juga untuk memastikan sistem pengurusan kerajaan menjadi lebih baik.

"Salah satu masalah besar ialah tiada penyelarasan yang baik antara kementerian dan PEMANDU. PEMANDU mengambil alih banyak peranan kementerian dan laporan PEMANDU tidak senada dengan laporan kementerian.

"Saya mencadangkan agar kerajaan memikirkan semula peranan PEMANDU atau dikembalikan kepada EPU," kata MP Kulim-Bandar Baru itu yang menjelaskan bahawa ia merupakan pandangan peribadinya.

Namun, beliau mendakwa maklumat yang diperolehinya dari sumber kementerian menunjukkan PEMANDU “hidup di dunia sendiri” kerana tidak mendapat sokongan kementerian lain.

"PEMANDU (menilai) KPI (indeks prestasi utama) kepada kementerian. Semuanya berdasarkan teori dan simulasi, bukannya dari perkara sebenar.

"Sistem ini tidak berfungsi, kita ada jabatan yang tidak dapat sokongan dari semua kementerian lain, buat apa?" kata beliau.

PEMANDU yang ditubuhkan pada 16 September 2009 diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan.

Peranan itu juga bagi Program Transformasi Ekonomi dan secara keseluruhannya menyelia Indeks Prestasi Utama semua menteri.

Menteri yang bertanggungjawab ke atas PEMANDU ialah Datuk Seri Idris Jala.

Lihat Komen
ADS