Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun dijulang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “harapan anak bangsa”, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol berkata beliau bukan penyokong pembangkang.

Sebaliknya, kata mahasiswa 22 tahun itu, beliau menjadikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai inspirasi.

“Saya suka dengan pemikiran atau pun pandangan Tun Mahathir,” kata Fahmi.

Beliau mengakui menggemari pemikiran pandang ke hadapan dan cara Mahathir menjatuhkan Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri.

“Saya suka bagaimana beliau buat pandangan hadapan, pembacaan beliau yang mendalam, strategik beliau bagaimana beliau menjatuhkan Anwar,” ujar Fahmi.

Beliau juga berkata strategi Mahathir menjatuhkan Anwar itu boleh digunakan dan dipelajari.

“Mungkin strategi itu boleh digunakan. Bagaimana liciknya (Mahathir), mungkin kemahirannya kita perlu belajar, perlu diambil, jadi saya meminatinya,” kata Fahmi sambil tersenyum.

Menurut mahasiswa semester akhir Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya itu, meskipun ramai tidak bersetuju dengan Mahathir, beliau mengagumi cara mantan perdana menteri itu berfikir dan mencorak Malaysia.

'Harapan anak bangsa'

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur semalam, Fahmi mengakui beliau meminati biografi Mahathir Doktor Umum .

Buku itu, katanya merakamnya kenapa Mahathir lebih bijak daripada Anwar dalam percaturan politik, yang menyebabkan beliau lebih tertarik dengan pemikiran Mahathir.

“Bukan saya nak kata saya bukan pro-Anwar Ibrahim, tetapi saya lebih minat dengan teknik atau kemahiran Tun Mahathir,” katanya.

Fahmi Zainol 27 Oktober lalu mencuri perhatian kerana menganjurkan pidato "40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara” yang menampil Anwar sebagai penyampai utama.

Beliau kini berdepan dengan kemungkinan disingkirkan universiti kerana tidak mendapat kebenaran UM.

Malah, dalam kejadian malam Isnin lalu, 2,000 hadirin, termasuk kumpulan mahasiswa, merempuh pintu pagar utama UM

Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, ketika mengakhiri pidatonya mengangkat tangan Fahmi dan menggelarkannya sebagai “harapan anak bangsa".


Wawancara dijalankan oleh ADRIAN WONG dan ANNE MUHAMMAD.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS