Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Isu mendapan di KLIA2 jadi lawak antarabangsa'

MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata pihak berkuasa masih tidak bertindak walau isu mendapan landasan, jalan rayap dan tempat letak pesawat di KLIA2 kini menjadi “lawak antarabangsa”.

Pua berkata, pemilik KLIA2  Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga gagal menyerahkan laporan penuh mengenai status operasi lapangan terbang itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC).

Dalam sidang media di bangunanan parlimen hari ini, Pua berkata MAHB diminta berbuat demikian sejak empat minggu lalu.

"Masalah ini telah menjadi lawak antarabangsa. Kita sekarang mahu tahu adakah masalah ini kecil seperti yang didakwa mereka (MAHB)," kata Pua.

Katanya, masalah mendapan itu boleh dilihat melalui satu video menunjukkan pekerja KLIA2 mencedok air dari jalan rayap landasan ke parti kerana permukaan tidak sekata.

Video dimuatkan di Youtube itu, yang ditunjukkannya kepada para wartawan, menunjukkan masalah di permukaan berkenaan menyebabkan air bertakung di jalan rayap landasan.

Pua berkata, video kejadian tersebut boleh diakses dari seluruh dunia yang menjadikan Malaysia bahan jenaka kerana lapangan terbangnya dinaiki air.

Dalam jawapan bertulis kepada Pua sebelum ini, kementerian Pengangkutan mendakwa masalah mendapan di permukaan itu sudah "diambil perhatian" oleh kerajaan.

Jawapan itu juga menyebut, isu mendapan itu tidak menjejaskan operasi KLIA2 dan pihak MAHB sendiri mempunyai penyelesaian kepada masalah tersebut.

Lihat Komen
ADS