Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman terhadap Jamil khir, JAWI ditolak
Diterbitkan:  Oct 30, 2014 7:56 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman seorang penjawat awam terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali, kerajaan Malaysia dan tujuh yang lain.

    

Saman itu adalah berhubung kecederaan yang dialami Mohd Fakry Sidek, yang ketika kejadian bertugas sebagai kerani di Perbadanan Putrajaya, akibat kekerasan yang didakwa dilakukan beberapa kakitangan JAWI sewaktu menangkapnya atas dakwaan berkhalwat, dua tahun lepas.

    

Hakim Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas mendapati Mohd Fakry, 33, selaku plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap kesemua defendan.

    

Keputusan itu dibuat di dalam kamar dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom, yang bertindak bagi kesemua defendan dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Zainal Narudin, mewakili Mohd Fakry.

    

Zureen Elina ketika ditemui pemberita berkata tuntutan Mohd Fakry ditolak dan mahkamah memerintahkan kos RM40,000 dibayar kepada kesemua defendan.

    

Dalam penghakiman bertulis yang diedar kepada media, Rosilah berkata tindakan kakitangan Jawi menarik plaintif keluar dari keretanya untuk melaksanakan tangkapan bukanlah kekerasan atau tindakan luar lazim, malah ia tindakan munasabah dalam situasi plaintif yang agak agresif ketika itu.

    

Katanya, Mohd Fakry sendiri bertindak agresif semasa empat kakitangan Jawi hendak melaksanakan tangkapan dan enggan bekerjasama walaupun dengan jelas, kakitangan terbabit memperkenalkan mereka adalah daripada JAWI.

Mengenai dakwaan Mohd Fakry pihak pendakwaan JAWI berniat jahat ketika mendakwa dan kemudian menarik balik pertuduhan khalwat terhadapnya, Rosilah berkata terpulang kepada budi bicara pendakwaan untuk menarik balik tuduhan dan mahkamah mendapati tiada keterangan menunjukkan pendakwaan dibuat dengan berniat

jahat.

    

Sementara itu, tindakan plaintif menuntut ganti rugi kerana mendakwa reputasinya tercemar akibat tuduhan khalwat, mahkamah mendapati tindakan defendan membuat tuduhan khalwat ke atas plaintif adalah berasas pada prinsip undang-undang dan tiada merit untuk plaintif menuntut kehilangan reputasinya di dalam saman tersebut.

    

Rosilah berkata dalam keterangan kepada mahkamah sebelum ini, Mohd Fakry mengakui pernah ditangkap dan dituduh berkhalwat dengan kawannya, Norfarini Kassim pada 2009 (plaintif dituduh berkhalwat dengan individu sama dalam kes saman ini), dan beliau mengaku salah dan membayar denda bagi pertuduhan khalwat itu.

    

Pada Februari lepas, Mohd Fakry memfailkan saman dengan menamakan Jamil Khir dan Che Mat atas kapasiti mereka sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap setiap arahan perbuatan kakitangan dan pegawai JAWI.

    

elain kerajaan Malaysia, turut dinamakan sebagai defendan ialah empat pembantu Hal Ehwal Islam JAWI ketika itu, Mohd Kusini Johari; Ammar Aziz; Nurul Anwar Kusno dan Musliadi Mat Yahya; Ketua Penolong Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Yaakob Abd Rahim; Pegawai Syariah Mohd Hafiz Idris dan Ketua Pendakwa Syarie Ibrahim Deris.

    

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Fakry mendakwa beliau menerima panggilan telefon daripada Norfarini tentang serbuan pihak JAWI ke atas kuarters yang diduduki wanita itu bersama anak perempuannya pada 1.10 pagi, 10 Jan 2012.

    

Mohd Fakry berkata apabila sampai, beliau terus memandu keretanya ke blok sebelah kuarters tersebut selepas mendapati dua kenderaan milik JAWI berada di kawasan kuarters yang diduduki Norfarini, sebelum didatangi empat kakitangan Jawi yang menuduhnya berkhalwat dengan wanita itu sedangkan mereka berada di tempat berasingan.

    

Beliau mendakwa keempat-empat lelaki itu kemudian menarik kedua-dua tangannya sambil menghamburkan kata-kata kesat ketika memaksanya naik ke rumah wanita itu dan dia juga diseret keluar ke atas jalan raya.

    

Mohd Fakry mendakwa beliau dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya atas tuduhan berkhalwat dengan wanita itu pada hari sama, namun pada 3 Jan 2013 pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS