Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AG: PPK kekang kerugian kewangan k'jaan
Diterbitkan:  Oct 30, 2014 8:15 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Sebuah Pasukan Petugas Khas (PPK) pelbagai agensi yang diterajui Jabatan Peguam Negara (JPN) mencatat kejayaan besar dalam usaha menghindar kerajaan daripada mengalami kerugian akibat cukai dan sumber hasil lain yang tidak dipungut.

    

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata PPK berkenaan yang ditubuhkan berikutan wujudnya kegiatan pengubahan wang haram secara serius dan untuk menjadi satu daripada dua teras utama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah dan membanteras jenayah.

    

"Objektif utama PPK ialah untuk mengenal pasti dan mengutip hasil daripada duti kastam dan cukai yang tidak diisytihar, yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan, menyiasat jenayah berkaitan seperti kiriman wang ke luar negara secara haram, penyeludupan dana haram, kegiatan rasuah dan untuk menangani penyelewengan diesel, petrol dan gas bersubsidi," katanya pada perhimpunan bulanan jabatan itu di Putrajaya hari ini.

    

Kerjasama antara PPK dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Mac membawa kepada kejayaan merampas kapal, kapal tangki, kenderaan yang diubah suai dan tangki gelongsor yang diguna untuk menyeludup diesel bernilai RM100 juta.

    

"Kerjasama ini bertujuan mencapai unjuran penjimatan kerajaan sebanyak RM395 juta dalam bentuk subsidi diesel, petrol dan gas pada tahun ini," katanya.

Abdul Gani berkata untuk membanteras pengubahan wang haram dan jenayah predikat lain, operasi bersepadu PPK berjaya meningkatkan dengan banyaknya jumlah kutipan tahunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Malaysia.

    

Unjuran kutipan LHDN pada 2014 ialah RM140.15 bilion, meningkat 100 peratus dalam tempoh empat tahun, manakala unjuran kutipan hasil JKDM pada tahun sama ialah RM36 bilion, meningkat RM10 bilion daripada RM25.9 bilion pada 2009.

Abdul Gani berkata PPK bukan sebuah agensi penguatkuasaan baru atau kendiri kerana ia terdiri daripada JPN, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), LHDN, JKDM, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

    

"Terdapat juga agensi lain di peringkat kerja seperti Jabatan Audit, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Cyber Security Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan," katanya sambil menjelaskan bahawa PPK juga bercadang melakukan penambahbaikan terhadap sistem dan prosedurnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS