Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB: Tiada komisen dibayar bagi kutipan dana
Diterbitkan:  Oct 30, 2014 8:39 PM
Dikemaskini: 11:37 PM

1Malaysia Development Bhd (1MDB) menafikan dakwaan bahawa "komisen" telah dibayar kepada bank pelaburan Goldman Sachs untuk kutipan dana.

Menjawab dakwaan MP Petaling Jaya Tony Pua dan laporan The Edge, 1MDB berkata ia tidak membayar mana-mana pihak ketiga bagi kutipan dana pada tahun 2012 dan 2013.

Ia juga menafikan sekeras-kerasnya tanggapan bahawa Goldman Sachs mungkin telah membuat pembayaran kepada pihak ketiga.

Ia, bagaimanapun, tidak menjelaskan mengapa fi yang dibayar kepada Goldman Sachs adalah begitu tinggi.

Pua hari ini mendakwa RM1.54 bilion dibayar kepada bank itu sedangkan menurutnya, 1MDB hanya perlu membayar RM152 juta.

Ini adalah kerana kadar biasa yang dikenakan untuk mengutip dana itu ialah 0.2 peratus dan 2 peratus daripada jumlah yang diperolehi, dan bukan 10 peratus yang dibayar.

Berikut adalah kenyataan media penuh 1MDB. [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu Bernama melaporkan 1MDB hari ini menyifatkan spekulasi yang sebahagian daripada 5.75 peratus kadar faedah

berkaitan bon Islam RM5.0 bilionnya, yang dikatakan dibayar kepada 'orang tengah' sebagai bayaran manfaat, sebagai dakwaan yang serius.

    

Syarikat pembangunan strategik milik kerajaan itu berkata, semua 5.75 peratus kadar faedah tahunan itu dibayar kepada pemegang bon, termasuk beberapa institusi utama Malaysia, dua kali setahun sejajar dengan jadual pembayaran.

    

"Mendakwa sebaliknya atau menuduh jumlah itu dibayar kepada orang tengah adalah tidak betul di segi fakta," katanya dalam satu kenyataan sebagai menjawab spekulasi serta beberapa tuduhan mengenai pelbagai elemen perniagaannya.

    

1MDB juga berkata, adalah tidak adil untuk membandingkan kadar faedah 5.75 peratus diberikan kepada bon Islam diterbitkan pada 2009 dengan Petronas yang membayar kadar faedah 3.6 peratus ke atas bon pada masa sama.

    

Bon yang diterbitkan 1MDB pada 2009 adalah bon Malaysia pertama dengan tempoh matang 30 tahun dan bon Islam pertama diterbitkan dengan tempoh matang selama itu, katanya dengan menambah 'bon yang mempunyai tempoh matang lebih lama selalunya mempunyai kadar faedah lebih tinggi.

    

"Sepanjang pengetahuan kami, bon berkaitan Petronas yang diterbitkan pada 2009 yang membawa kadar kupon 3.6 peratus adalah untuk bon RM100 juta dengan tempoh matang hanya tiga tahun.

    

"Berikutan perbezaan ketara di antara tempoh matang, tidak mengejutkan yang bon diterbitkan 1MDB mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi," katanya.

Mengenai kebimbangan mengenai komisen dan fi ditanggung 1MDB untuk dua terbitan hutang tambahan pada 2012 dan 2013, msing-masing untuk US$1.75 bilion dan US$3.0 bilion, ia berkata, kedua-dua bon terbabit diterbitkan pada diskaun seperti yang sering ditawarkan kebanyakan bon.

    

"Sebarang perbezaan di antara nilai par (nilai terbitan) dan hasil bersih sesuatu bon mengandungi bukan sahaja fi dan perbelanjaan lain tetapi juga hasil efektif, yang mengambil kira diskaun dan baki tempoh matang bon.

    

1MDB berkata, kedua-dua terbitan hutang diunderait sepenuhnya oleh Goldman Sachs, iaitu peneraju bank pelaburan global.

    

Syarikat itu juga menafikan tuduhan yang Goldman mungkin membuat pembayaran kepada pihak ketiga.

    

Katanya, Goldman Sachs secara terbuka telah menyatakan: "Selain daripada firma guaman dan perakaunan yang menyediakan perkhidmatan profesional, tiada fi atau komisen dibayar 1MDB atau  Goldman Sachs kepada pihak ketiga luar berkaitan dengan transaksi terbabit, atau pernah diminta 1MDB atau pihak lain untuk membayar fi atau komisen seumpama itu.

1MDB juga berkata semua hutangnya disokong oleh aset kukuh, yang berjumlah RM44.67 bilion sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013.

    

Syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu berkata jumlahnya "melebihi nilai jumlah hutangnya sebanyak RM37 bilion bagi tempoh sama".

    

"Kami tidak pernah terlepas jadual pembayarannya, kami juga tidak berhasrat untuk berbuat demikian," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Ia menyatakan perniagaan hartanahnya dengan projek-projek seperti Tun Razak Exchange dan projek berkembarnya Bandar Malaysia akan membawa kepada kemasukan

modal ke negara ini.

"Memandangkan kami terus meningkatkan nilai aset hartanah kami, membolehkan kami meneruskan pengewangan (menukarkan aset ke dalam bentuk wang), dengan dana yang dijana digunakan untuk memacu pertumbuhan masa depan dan mengurangkan paras hutang kami," katanya.

    

Mengenai perbincangan berhubung jumlah yang dibayar oleh 1MDB bagi aset hartanah dan tenaga, syarikat itu berkata ia hanya membeli aset yang mempunyai nilai menarik untuk perniagaan tersebut.

"Kami mengambil pandangan jangka panjang dan mempertimbang sinergi yang lebih luas bagi kumpulan, serta kesan ekonomi dan sosial kepada negara, apabila kami menilai aset dan membuat unjuran ke atas pulangan ekonomi," kata 1MDB.

Ia membeli beberapa aset tenaga sejak 2012, sejajar dengan matlamat strategik kerajaan untuk memastikan keselamatan tenaga Malaysia.

    

Berhubung jumlah yang dibayar bagi tanah yang menjadi tumpuan utama di Air Itam, Pulau Pinang, 1MDB berkata harga yang dibayar sepadan dengan nilai keseluruhan tanah itu.

    

"Harga yang dibayar oleh pemaju lain untuk membeli tanah di kawasan berhampiran iaitu lebih RM200 satu kaki persegi, jauh lebih tinggi daripada jumlah yang kami bayar," katanya.

    

1MDB berkata saiz tanah yang dibeli itu membolehkan mereka membina hampir 10,000 rumah mampu milik dan selebihnya akan digunakan bagi tujuan pembangunan lain untuk menjana nilai yang besar.

Mengenai dakwaan 1MDB menerima layanan istimewa bagi tender untuk projek tenaga, katanya Konsortium 1MDB-Mitsui memenangi bidaan secara adil seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

"Sebarang pemberian tender berdasarkan beberapa pertimbangan untuk memastikan bekalan tenaga dengan kos yang cekap dan selamat kepada pengguna," katanya.

    

1MDB berkata ia juga tidak berjaya dalam tender lain seperti bidaan loji berkuasa gas di Prai dan loji berkuasa arang batu 1000-megawat, walaupun menawarkan harga bidaan paling rendah bagi bidaan Prai itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS