Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pihak pendakwa dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhujah bahawa jika sampel DNA yang berusia 13 tahun dapat diambil dalam satu kes rogol dan bunuh di Australia untuk mensabitkan seseorang, maka mengapa mahkamah tidak boleh menggunakan DNA ahli politik itu untuk menghukumnya atas tuduhan liwat.

                                    

Perkara ini telah dibangkitkan oleh pendakwa yang dilantik oleh kerajaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Persekutuan.

Memetik kes undang-undang, beliau berkata polis Australia telah menemui tuala milik mangsa dan setelah pemeriksaan, mendapati kesan air mani yang dihantar untuk analisis bagi mengenal pasti pelakunya..

"DNA itu ditemui pada tuala tersebut di mana air mani ditemui. Bacaannya dianggap sepadan dengan tertuduh didapati bersalah kerana membunuh selepas 13 tahun," katanya, sambil menambah bahawa dalam kes liwat ini, sampel DNA telah berjaya diambil dari Mohd Saiful Bukhari Azlan 56 jam selepas kejadian itu dikatakan berlaku.

"Dalam kes saya, bacaannya adalah sempurna," katanya dalam membandingkan sampel DNA yang diambil dari dubur Saiful dan sampel yang diambil dari botol air mineral, berus gigi dan tuala dari lokap Anwar berikutan penangkapannya pada 16 Julai 2008.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Saiful telah pergi ke Hospital Kuala Lumpur dua hari selepas kejadian liwat itu didakwa berlaku, di mana para doktor di sana mengambil 12 sampel dari mangsa.

Sampel itu kemudian diserahkan kepada ahli kimia 96 jam selepas kejadian itu dikatakan berlaku.

Pihak pembelaan telah membangkitkan isu bahawa sampel seseorang yang dikenal pasti sebagai "Lelaki Y" (Anwar) adalah dalam keadaan yang bersih dan dengan itu apa yang diletakkan adalah masih segar dan Shafee telah cuba menghilangkan prasangka ini.

Shafee yang telah dilantik oleh Pejabat Peguam Negara untuk mengendalikan kes itu sejak Julai lalu, juga cuba untuk menunjukkan contoh kes undang-undang yang lain untuk membuktikan bahawa DNA boleh bertahan lama.

Shafee berkata, sementara ekor sperma boleh larut, tetapi kepala masih kekal.

Beliau selanjutnya berkata terdapat berbagai literature untuk membuktikan bahawa sperma dan DNA masih boleh diambil selepas 65 jam dari alat sulit seseorang.

Shafee membalas hujahan pihak pembelaan sejak hari Jumaat.

Beliau berkata peguam Anwar telah memberi notis alibi untuk memanggil 13 saksi, termasuk isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga Hasanuddin Abdul Hamid, pemilik kondominium di mana kejadian itu didakwa berlaku, tetapi tiada seorang pun daripada mereka telah dipanggil .

Memetik kes undang-undang, Shafee berkata berikutan kegagalan pihak pembelaan untuk memanggil mereka,  meskipun telah memberi notis, Mahkamah Persekutuan boleh membuat 'adverse inference' untuk menunjukkan yang Anwar bersalah.

"Pihak pendakwa telah membuktikan kehadiran Anwar di unit kondominium itu dengan Saiful kerana terdapat kamera litar tertutup yang menunjukkan ini," katanya sambil menunjukkan gambar kepada mahkamah," katanya.

Menurutnya lagi, kegagalan untuk memanggil saksi-saksi alibi itu dianggap sebagai bukti pentahkikkan (corroborative evidence) independen.

Shafee berkata bahawa menjadi tugas Anwar untuk membuktikan sebaliknya bahawa dia tidak berada di unit kondominium itu di mana kejadian liwat itu didakwa berlaku.

Shafee juga berkata walaupun terdapat keterangan pakar bagi pihak pembelaan Dr Brian McDonald bahawa sampel yang diambil dari Saiful itu bersih (pristine), tetapi testimoni (McDonald) tidak pernah diterima walaupun di negerinya sendiri Australia dan Brunei.

Shafee juga cuba menerangkan kehadiran DNA lelaki yang tidak dikenali di kawasan peri-anal Saiful, dengan mengandaikan bahawa ia boleh jadi dari Dr Mohd Osman Abdul Hamid, doktor Hospital Pusrawi yang merupakan orang pertama yang memeriksa Saiful.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa ada kemungkinan Dr Osman tidak menggunakan sarung tangan atau menggunakan proctoscope yang tidak disterilkan

Shafee seterusnya menyatakan bahawa pencemaran mungkin berasal dari pemeriksaan oleh tiga doktor Hospital Kuala Lumpur.

Shafee telah membuat kesimpulan penghujahannya dan pihak pembelaan yang diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram, akan menjawab perkara yang dibangkitkan pada hari Khamis ini.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS