Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanipa dakwa hakim ulas kes Mejar Zaidi dalam FB

Peguam Hanipa Maidin mendakwa seorang anggota panel mahkamah yang mendengar kes Mejar Zaidi Ahmad mengulas kes itu dengan meninggalkan komen pada satu berita yang disiarkan Malaysiakini menerusi akaun Facebook miliknya.

Hanipa mendakwa komen itu dibuat pada berita "Peguam: Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerani berani" di portal berita itu bertarikh 20 Oktober 2014.

Hanipa mendakwa komen itu dibuat pemilik akaun bernama 'Saadon T'son' yang menggesa Zaidi agar "duduk di kampung sahaja jika tak nak menjadi tentera".

Justeru, Hanipa memohon agar mahkamah yang mendengar kes ini dibubarkan.

Menurut Hanipa, komen itu dikesan oleh anak guamnya pada 1 November lalu.

Oleh yang demikian, ia menunjukkan hakim berkenaan bersikap berat sebelah, yang membolehkan kes berkenaan digugurkan.

"Kami mahu mahkamah ini dibubarkan dan kes ini digugurkan terus," kata Hanipa.

Tambahnya, Zaidi turut mengadukan perkara itu kepada Panglima Nombor 1 Divisyen Udara Pengkalan Udara Butterworth pada hari Isnin, 3 November menerusi sepucuk surat rasmi.

Zaidi menuntut agar mahkamah itu dibubarkan dan baki dua tuduhan terhadapnya digugurkan kerana "sikap berat sebelah" hakim tersebut "yang memperlekehkan dirinya".

"Saya dengan ini menuntut pihak Datuk agar segera membubarkan mahkamah ini dan menggugurkan baki dua tuduhan ke atas saya.

"Kes saya ini juga seperti yang boleh dibaca di banyak media alternatif telah banyak menjatuhkan nama baik TUDM khususnya dan nama baik ATM amnya di mata rakyat," surat Zaidi dipetik.

Persidangan mahkamah yang ditangguhkan hari ini akan bersambung semula pada 24 November ini untuk mengumumkan keputusan permohonan hari ini.

Zaidi hari ini sepatutnya mula membela diri terhadap dua tuduhan terhadapnya iaitu memberi kenyataan media tanpa keizinan Majlis Angkatan Tentera dan membocorkan dokumen tentera kepada media.

Lihat Komen
ADS