Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP kecewa isu kehadiran Hadi dianggap remeh
Diterbitkan:  Nov 6, 2014 5:47 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

DAP kecewa isu ketidakhadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan ketidakpatuhannya berhubung keputusan yang dicapai dianggap "remeh dan tidak perlu diberikan perhatian".

Setiausaha Organisasinya Anthony Loke berkata Pakatan tidak dapat melangkah ke depan dengan tindakan Hadi itu apatah lagi ia melibatkan soal kesinambungan dan 'survival' politik Pakatan.

Beliau yang juga MP Seremban itu juga berkata majlis itu tidak dapat berfungsi jika tiada komitmen penuh setiap parti dalam Pakatan bagi mematuhi prinsip, dasar dan keputusan bersama dalam gabungan politik pembangkang itu.

"Bagaimanakah Pakatan Rakyat dapat berfungsi dengan efektif dan melangkah ke hadapan sekiranya keputusan yang telah dicapai bersama dalam mesyuarat boleh dinafikan oleh Presiden salah satu parti kompenen secara "unilateral" yang tidak hadir dalam mesyuarat," katanya.

Beliau mengulas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyerang Hadi secara terbuka.

Portal berita Harakahdaily semalam melaporkan Mustafa berkata tindakan Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang yang membangkitkan perkara itu sebagai "remeh yang tidak perlu diperbesar".

 

Sambil menggesa supaya DAP tidak mencampuri isu dalam PAS, Mustafa turut berkata sejak 2008 Guan Eng lebih banyak tak hadir ke mesyuarat Pakatan berbanding Abdul Hadi.

Menjawab perkara itu, Anthony berkata beban menggalas tanggungjawab pentadbiran sebagai ketua menteri sudah tentu menyebabkan Lim tidak dapat hadir dalam setiap mesyuarat majlis itu.

"Tetapi ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat tidak pernah menimbulkan masalah kerana beliau tidak pernah mempertikaikan sebarang keputusan yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

"Wakil DAP dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diberikan mandat penuh dan kepercayaan oleh Jawatankuasa Ekskutif Pusat (CEC) DAP untuk membuat keputusan bagi pihak DAP.

"Persoalan yang utama di sini ialah adakah wakil PAS dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk membuat keputusan bagi pihak PAS tanpa kehadiran Presidennya?" kata Anthony lagi.

Lihat Komen
ADS