Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir lumpur: Dua lagi masih hilang
Diterbitkan:  Nov 7, 2014 1:54 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Lokasi pencarian dua warga Indonesia yang hilang pada Rabu lepas dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Lembah Bertam di Cameron Highlands diperluaskan hari ini kepada lingkungan empat kilometer dari rumah kongsi didiami mereka.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Busu berkata bantuan jentera jengkaut untuk mengorek tanah dan unit K9 anjing pengesan digunakan dalam usaha mencari kedua-dua mereka di sekitar kawasan itu.

"Buat masa ini pihak polis tidak terima sebarang laporan mengatakan ada mangsa lain yang terlibat," katanya dalam sidang media di pusat kawalan operasi dan bencana di Lembah Bertam hari ini.

Beliau berkata paras air di Empangan Sultan Abu Bakar di Cameron Highlands telah kembali normal dan kebenaran akan diberikan kepada penduduk membersihkan rumah masing-masing.

Selain itu, Tenaga Nasional Berhad telah dimaklumkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus di kawasan itu, katanya.

Dalam kejadian itu, tiga orang disahkan maut dengan seorang pelajar lelaki, R Punesh, 13, ditemui lemas di Sungai Terlom, Kampung Raja, manakala seorang pekerja kebun sayur warga Indonesia yang dikenali sebagai Anipan, 48, ditemui tertimbus di Lembah Bertam.

Seorang lagi mangsa, seorang pekerja kebun sayur warga Nepal, Md Yousuf Miya, 66, meninggal dunia selepas ditemui tertimbus di Jalan Ulu Merah, Ringlet.

Kejadian yang berpunca daripada hujan lebat itu, turut menjejaskan 203 penduduk terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

Semalam, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS