Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sidang Dewan Rakyat sekali lagi kecoh apabila Datuk Seri Noh Omar mendakwa DAP merupakan sebuah parti yang chauvenis dan perkauman.

Kekecohan itu timbul apabila Noh (BN-Tanjung Karang) mencelah ketika Lim Kit Siang sedang membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2015.

Ketika perbahasan, Lim (DAP-Gelang Patah) mendakwa wujud konteks tertentu apabila Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali tidak dikenakan sebarang tindakan berhubung kenyataannya yang ingin membakar Bible berbahasa Melayu.

"Peguam negara berkata, setelah dikaji, kenyataan Ibrahim Ali tidak dikategori sebagai menghasut.

"Adakah ini bermakna wujud konteks tertentu yang membolehkan seseorang mengugut mahu bakar Bible? Adakah wujud konteks mengugut membakar kitab suci agama lain dibolehkan?

“Sepertimana kita ada zero tolerance dalam rasuah, kita juga perlu ada zero tolerance dalam sebarang ugutan untuk bakar mana-mana kitab suci di Malaysia.

"Adakah perdana menteri bersedia dengan dasar toleransi terhadap ugutan membakar kitab suci mana-mana agama sebagai contoh negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan?" kata Kit Siang.

Selepas itu, Noh yang juga pengerusi BN Selangor bangun dan berkata, perkara yang melibatkan agama perlu bercakap berlandaskan undang-undang.

Kemudian, Kit Siang bangun dan bertanya kepada Noh adakah beliau seorang yang sederhana (moderate) atau ekstrimis?

"Adakah YB (Yang Berhormat) seorang yang moderate yang berdiri bersama perdana menteri atau YB seorang ekstrimis?" soal Kit Siang.

Perkara itu menyebabkan suasana dewan gamat apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat meminta Noh menjawab soalan tersebut.

"Saya akan jawab. Saya jawab. Saya nak menyatakan, dengar baik-baik.

"Saya nak menyatakan bahawa saya ahli parlimen dan rakyat Malaysia yang mematuhi peraturan, undang-undang dan Perlembagaan berdasarkan lima rukun negara. Kita bukan macam DAP. Chauvenis, Perkauman," kata Noh.

Kenyataan Noh itu membuatkan beberapa wakil rakyat daripada Pakatan meminta supaya beliau menarik balik kenyataan itu.

Bagaimanapun, Noh berkata, itu merupakan pendiriannya dan menegaskan seseorang itu tidak boleh dituduh sekiranya individu tersebut bercakap untuk mempertahankan hak yang termaktub dalam perlembagaan.

"Maksud saya, tidak boleh menuduh seseorang kalau seseorang itu bercakap untuk mempertahankan hak dalam Perlembagaan. Itu tak betul.

“Barang sesiapa mempersoalkan kedudukan perlembgaaan, orang itulah chauvenis. Janganlah nak salahkan apa yang ada di dalam Perlembagaan," kata Noh lagi yang menyebabkan Dewan sekali lagi kecoh.

Berikutan suasana tegang itu, Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kelihatan memegang kepalanya sambil menundukkan wajahnya dan berkata: "Yang berdiri sila duduk.

"Saya terpaksa angkat bakul sendiri. Dalam hal ini, saya yang paling moderate . Yang Berhormat semua, mesyuarat kita tangguh sehingga jam 2.30 petang," kata Pandikar.

Lihat Komen
ADS