Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan agar mengenakan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sifar ke atas semua buku dan tidak mengehadkannya kepada buku teks, buku latihan, kamus dan buku kanak-kanak sahaja.

Menurutnya, kadar GST sifar terpilih itu mengelirukan orang ramai dan terdedah kepada salah guna akibat kekeliruan pengelasan buku.

"Kenapa kerajaan mencukai usaha belajar dan menuntut ilmu?” soal naib presiden PKR itu dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen.

"Ribuan buku-buku lain terdiri daripada fiksyen dan bukan fiksyen, meliputi pelbagai subjek meluas termasuklah sains, matematik, ekonomi, sejarah, sastera dan politik.

"Rakyat akan berbelanja lebih apabila April 2015 tiba dan ia akan menghindarkan tabiat membaca yang baik.

"Kerajaan perlu mengelaskan semua buku tanpa mengira kategori, sebagai barangan tanpa cukai GST," kata Nurul Izzah.

Menurut Nurul Izzah, harga-harga buku akan sedia meningkat memandangkan penerbit terpaksa menanggung kos pentadbiran yang meningkat akibat pelaksanaan GST.

"Kerja mereka akan menjadi bertambah rumit dengan jumlah barangan yang dikenakan cukai berkadar sifar yang melayakkan mereka untuk menuntut kembali cukai dari kerajaan," kata Nurul Izzah lagi.

Lihat Komen
ADS