Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BN akan bertindak balas dengan usul untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen, kata Timbalam Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Usul sama juga melibatkan seorang lagi MP pembangkang, Tony Pua, kata Ahmad yang menambah, usul berkenaan akan dikemukakan oleh MP Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Ahmad mendakwa, kedua-duanya mengelirukan Dewan Rakyat sewaktu membahaskan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahmad Maslan mengumumkan perkara itu dalam sidang media di bangunan Parlimen selepas MP PKR, Rafizi Ramli mengemukakan usul untuk merujuk beliau ke jawatankuasa sama.

Mengulas usul yang dikemukakan MP Pandan itu, Ahmad berkata beliau tidak pernah mengelirukan Dewan berkenaan hutang 1MDB seperti didakwa Pakatan Rakyat.

Menurut Ahmad, kerajaan tidak pernah menjamin hutang 1MDB sebanyak RM9.6 bilion seperti didakwa Pakatan Rakyat.

"Perkara yang saya nyatakan pada 6 November 2014 dengan jelas menunjukkan bahawa jaminan kerajaan adalah kepada pinjaman yang berjumlah RM5.8 bilion sahaja.

"Jaminan ini terikat di bawah Akta Jaminan Pinjaman 1965.

"Justeru itu, hanya jumlah RM5.8 bilion sahaja yang termasuk dalam liabiliti kontingen dan bukannya ditambah dengan USD30 bilion," kata Ahmad dalam sidang medianya.

Lihat Komen
ADS