Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Peguam Syahredzan Johan berpendapat buat masa ini tiada keperluan untuk menubuhkan satu mahkamah perlembagaan seperti diutarakan pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Pengamal undang-undang itu berkata mahkamah sivil sememangnya tidak boleh mencampuri urusan mahkamah syariah seperti digariskan dengan jelas dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya lagi, buat masa ini sebarang pertikaian antara muslim dan bukan Muslim akan dirujuk ke mahkamah sivil memandangkan Mahkamah Syariah tiada kuasa ke atas bukan Muslim.

"Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan sudah menyatakan bahawa mahkamah sivil tiada bidang kuasa ke atas mahkamah syariah," kata Syahredzan kepada Malaysiakini .

Beliau mengulas cadangan Abdul Aziz supaya mahkamah perlembagaan – yang mengatasi kuasa mahkamah sivil dan syariah – ditubuhkan untuk menyelesaikan apa sahaja pertikaian yang berpanjangan.

Abdul Aziz yang merupakan pensyarah undang-undang di Universiti Selangor (Unisel) membuat cadangan itu susulan cadangan seorang menteri di jabatan perdana menteri untuk mewujudkan Mahkamah Persekutuan Syariah.

Menteri hal ehwal agama Islam, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada hari Khamis lalu mencadangkan agar satu Mahkamah Persekutuan Syariah yang selari kuasanya dengan Mahkamah Persekutuan Sivil diwujudkan.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata cadangan Dr Abdul Aziz itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan menerima cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Bagaimanapun, kata Syahredzan, cadangan Jamil Khir itu bermasalah untuk dilaksanakan kerana kuasa mahkamah syariah kini terletak bawah negeri masing-masing.

Pada masa sama, katanya, seandainya menjadi kenyataan ia akan mewujudkan "persaingan" di antara kedua-dua sistem mahkamah.

"Nanti akan ada persaingan di antara kedua-dua mahkamah dalam mengeluarkan perintah masing-masing," kata Syahredzan.

Lihat Komen
ADS