Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata, kurang kesedaran berhubung isu-isu hak asasi antara sebab kes seperti kematian dalam tahanan tidak dibela khususnya oleh NGO Melayu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad membangkitkan bagaimana kes kematian bekas pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamed dan pembantu ahli politik Teoh Beng Hock yang mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat Melayu dan Cina.

"Saya tidak tahu mengapa NGO Melayu barangkali tidak menghala ke situ, saya fikir ada banyak NGO Melayu barangkali mengarah ke tempat lain.

"Nasib yang tertimpa terhadap Teoh seperti yang telah terbukti tertimpa juga kepada orang Melayu. Jadi saya fikir orang Melayu tidak beri perhatian. Mungkin kerana kurang diperjelaskan sebab nasib yang tertimpa terhadap Teoh ini sudah pun tertimpa kepada orang Melayu sendiri.

"Cuma orang Tiong Hua lebih sedar bahawa ini satu masalah yang perlu dijernihkan, diselesaikan sebab kalau tidak, perkara ini akan berulang dan tidak baik bagi demokrasi," katanya ketika ditemubual Malaysiakini .

Ditanya bagaimana untuk menyedarkan orang Melayu supaya peka, Samad berkata, perkara itu sukar untuk diterangkan memandangkan kebanyakan orang Melayu lebih gemar tentang isu lain.

"Saya sendiri pun agak tidak faham, barangkali (NGO seperti) Teoh Beng Hock Trust For Democracy boleh menjadi contoh baik kepada NGO Melayu untuk mencontohinya,” katanya yang juga pengerusi NGO itu.

'Menyedar, bukan menghasut'

Beliau juga menyindir golongan berusia yang masih kurang sedar dengan kepentingan memperjuangkan isu kematian dalam tahanan.

"Golongan lebih tua lebih banyak fikir akhirat dan tidak begitu peduli dunia sekarang kecuali, dia memang orang politik.

“Saya fikir amat sikit orang tua (berfikiran kritikal) sebab orang Melayu rata-rata duduk di kampung dan mendapat gambaran yang salah sentiasa. Yang duduk di bandar kerja dengan kerajaan pula," katanyal agi.

Sementara itu, menyentuh soal NGO yang dipimpinnya itu, Samad berkata, sebuah majlis makan malam akan diadakan pada 5 Disember depan untuk mengutip dana bagi menampung perbelanjaan mereka..

Ia akan digunakan untuk membantu individu yang ditahan atau mati dalam tahanan serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang hak asasi manusia.

Katanya, NGO itu turut akan mengadakan jelajah di seluruh negara bagi menyedarkan masyarakat di samping menjelaskan lanjut kes kematianTeoh.

"Itulah kami boleh lakukan secara terbatas oleh kerana wang dana terhad. Kami sudah pergi ke Johor, Pulau Pinang semata-mata untuk menyedarkan, bukan menghasut," katanya sambil ketawa.

Lihat Komen
ADS